Hari Raya Aidiladha atau Hari
Raya Haji merupakan perayaan
yang dirayakan oleh umat Islam di seluruh dunia. Ia adalah perayaan terbesar di
dalam Islam selain Aidilfitri yang disambut pada setiap 1 Syawal. Aidiladha disambut pada hari
ke-10, 11, 12 dan 13 bulan Zulhijjah setiap tahun.
Bermula dengan Takbir Aidiladha pada malam 10 Zulhijjah, diikuti dengan solat
sunat Aidiladha serta khutbah Aidiladha di pagi 10 Zulhijjah, sambutan diikuti
dengan ibadah korban yang boleh dilakukan samada pada 10 atau 11 atau 12 atau
siang 13 Zulhijjah, semua hari-hari ini dipanggil Hari Tasyrik.
Aidiladha adalah perayaan yang
istimewa kerana ia merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah
pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. dalam menunaikan perintah Allah dan kesabaran anaknya Nabi Ismail a.s. dalam memenuhi
perintah Allah SWT.
Selain itu,
salah satu keistimewaan Aidiladha dan Hari Tasyrik ialah ibadat korban. Ibadat korban ini hanya boleh
dilakukan dalam empat hari iaitu bermula waktu selepas khatib menyampaikan
khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijah.
Dari segi bahasa, korban bermaksud
dekat, manakala dari segi istilah ia bermaksud menjalankan perintah agama atau
taat kepada perintah Allah kerana ingin mendekatkan diri kepada-Nya.
Hari Raya Korban jatuh pada hari
kesepuluh pada bulan Zulhijjah, bulan terakhir pada kalendar Hijrah Islam. 10 Zulhijjah merupakan tarikh penting dalam sejarah Islam di mana Nabi Adam dan
isterinya Hawa dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke bumi sebelum berjumpa
di padang Arafah, di luar bandar Mekah.
Pada hari raya, orang Islam
disunatkan mengenakan pakaian yang paling cantik, paling bersih, dan juga
mengenakan wangi-wangian. Pada pagi hari raya korban, umat Islam akan
mengerjakan sembahyang sunat Hari Raya sebanyak 2 rakaat dengan 7 takbir pada
rakaat pertama diikuti 5 takbir pada rakaat kedua.
Pada kebiasaannya solat sunat
Aidiladha dicepatkan sedikit berbanding solat sunat Aidilfitri. Hikmahnya dicepatkan
sedikit waktu solat sunat Aidiladha adalah bagi memberi lebih banyak masa untuk
penyembelihan korban. Hikmahnya dilewatkan sedikit solat sunat Aidilfitri pula
adalah bagi membenarkan peluang bagi mereka yang belum membayar zakat
menunaikan kewajipan mereka dan disunatkan makan dahulu sebelum pergi ke
masjid.
Manakala bagi Aidiladha, hikmat
disunatkan makan selepasnya supaya makanan yang mula-mula dimakan pada hari itu
ialah daging korban yang berkat. Selepas bersembahyang, upacara korban akan
dimulakan. Lembu, kambing, dan biri-biri yang dikorbankan akan disembelih secara beramai-ramai di kawasan masjid sebelum
dibahagi-bahagikan dagingnya kepada orang ramai terutamanya kepada golongan
fakir miskin.
Hari Raya Aidiladha disambut ketika
umat Islam membuat penziarahan ke Makkah, mengunjung Kaabah dan melakukan
korban sembelihan. Al-Quran tidak menyatakan, tetapi umat Islam memegang bahawa perayaan
korban ini memperingati kesanggupan Nabi Ibrahim untuk menyerahkan anaknya
sebagai korban kepada Tuhan.
salam aidil adha buat semua ^^ moge2 ibrah daripada pengorbanan nabi ibrahim dan anaknya menjadi satu titik pemula @ simbolik untuk kite berkorban apa sahaja demi islam tercinta..insyaallah
ReplyDelete