Sunday, January 6, 2013
Nilai Sebuah Kemaafan.
Suatu ketika, pernah kah kita merasa seolah-olah ada sesuatu yang menganggu ruang fikir kita. Kita mencari-cari di mana arah punca gangguan itu. Hati kita terasa seperti berbuat silap. Tapi semakin kita mencari, semakin pula kusut ruang fikir kita.
Pada satu saat yang lain, pernah kah kita tertanya sendiri, kenapa hati tidak tenang? Kenapa hati terasa masih lagi gelisah? Kenapa fikiran selalu saja melayang mengenang perkara-perkara pahit? Kenapa selalu saja rasa sendu dan duka, kadang melarat dari pagi membawa ke petang.
Sedangkan tangan masih ditadah, masih lagi berbicara doa pada Allah. Meminta itu ini, mengadu begitu begini. Memohon agar diampunkan semua dosa dan kesalahan diri. Namun hati, masih juga buntu dalam menemui erti ketenangan yang sebenar.
Kita muhasabah,
Mungkin kita tidak tersedar, rupanya ketika bibir laju memohon ampun, kita sendiri belum lagi menghulur maaf. Bagaimana harus ditemui ketenangan, andai masih lagi berbekas rasa. Bagaimana mesti kita diampuni, andai masih lagi belum rela melepaskan rasa dalam hati. Kita ingin Allah mengampunkan dosa kita, tetapi kita lupa memberi maaf pada mereka yang bersalah. Kita membuat mereka terluka. Terluka dengan sikap kita.
Memaafkan bukanlah mudah. Kita manusia fitrahnya sentiasa berteman khilaf. Yang selalu kalah dengan ujian yang Allah beri. Yang selalu dan tak malu mengaku lemah. Sedangkan Allah terang-terangan lebih menyukai mukmin yang kuat berbanding mukmin yang lemah.
Kita ini manusia, yang selalu bersembunyi di balik dinding bernama mangsa. Kita ini manusia, yang tidak mahu memaafkan hanya beralasan 'kita bukan nabi, kita manusia biasa'...
Kadangkalanya kita mangsa dan mengenang betapa diperlakukan dengan tidak adil, betapa diri dizalimi, betapa diri tidak sepatutnya diperlakukan sebegitu, diperlakukan sebegini... lantas sukar sekali rasa hati untuk memberi sebuah kemaafan.
Mengapa boleh berlaku sedemikian?
Ya, kerana kita sebenarnya lupa. Yang menggerakkan sesuatu itu adalah Allah. Hati manusia, seperti saya, seperti dia, seperti semua, dipegang oleh Allah. Tiada satu pun yang akan terjadi tanpa izin dariNya. Setiap sesuatu, telah dirancang Allah sebaiknya. Baik atau buruk hanyalah di mata kita, manusia yang terhijab dari segala kebaikan yang Allah telah aturkan.
Tersiratnya, andai kita fikir kita dizalimi oleh manusia, lalu enggan pula memaafkannya, maka kitalah sebenarnya yang zalim kerana sedikit sebanyak, kita ini menuduh perancangan dan gerakan Allah itu zalim. Nauzubillahiminzalik. Astagfirullah.
Sedangkan Allah, pemilik segala sesuatu di langit dan bumi, sedia mengampunkan dosa hatta setinggi gunung. Sedangkan Allah, di dalam al-Quran berkali kali menegaskan yang dia Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang. Sedangkan Dia, yang mahu hambaNya memohon ampun walau berkali-kali melakukan dosa.... Tapi kita, hanya hamba yang kerdil, satu antara jutaan butiran pasir manusia, seakan-akan mahu menumpang hakNya, dengan tidak bersedia memaafkan manusia kerdil lain. Siapa kita? Siapa?
Benar, memaafkan memang tidak mudah. Memaafkan sedang hati masih berdarah kerana disakiti, memang sukar sekali. Apalagi jika yang mengkhianati tidak pernah peduli. Tidak pernah menghulur maaf. Tidak pernah menunjuk kesal. Malah seakan bergembira, seolah olah tidak pernah berlaku satu apa pun kesalahan atas bahunya.
Ingatlah, jalan ke syurga itu tidak mudah. Mahu ke syurga itu perlu diselangi dengan jerih payah. Maka, perlu apa kita mengeluh kesah?
Percayalah, bila mana memaafkan maka perlahan-lahan rasa itu pasti datang. Rasa tenang. Rasa damai. Rasa lapang. Bila mana tangan ditadah, lalu memaafkan setulus hati, dapat dirasa hati bersorak girang. Hati terasa bebas dari dendam dan amarah kerana kita tidak lagi menanigisi sesuatu yang telah terjadi.
Didiklah hati itu agar sentiasa mendoakan mereka yang telah mengkhianati kita. Walau sakitnya bagai tusukan sembilu, doakanlah kerana tidak merugi orang yang membalas kejahatan dengan kebaikan.
Sukar. Sudahlah memaafkan itu payah, lagikan pula mendoakan untuk mereka? Tapi percayalah, memberi kemaafaan itu memberi jalan tenang, memaafkan itu membuka hati semakin lapang. Mendoakan buat mereka yang menganiaya adalah kemuncaknya. Hakikatnya merekalah sebenarnya yang patut dikasihani, kerana bukan saja mereka menzalimi kita, tapi juga menzalimi diri mereka sendiri... Bukankah orang seperti itu patut didoakan?
Walaupun pada saat ini mereka menyakiti dan menzalimi diri kita, mereka dikatakan seorang yang zalim bukan sahaja ke atas diri sendiri malah ke atas diri orang lain juga. Namun, kita tidak tahu bagaimana pengakhiran sebuah kehidupan di masa akan datang antara kita dengan orang yang menzalimi kita itu. Boleh saja orang tersebut menjadi lebih mulia di sisi Allah SWT berbanding diri kita sendiri.
Andai belum pernah mendoakan yang baik-baik untuk mereka, maka pintalah. Setiap kali berdoa, pintalah kebaikan untuk mereka. Janganlah sesekali kita mendoakan keburukan buat mereka. Sebaik-baik mukmin dan 'sekuat-kuat' mukmin itu ialah dia tidak membalas kejahatan, kemarahan, kesakitan yang diberikan oleh mukmin yang lain sekalipun dia berkuasa dan berupaya untuk membalasnya. Maka doakanlah dirinya dan jangan lupa agar istiqamah untuk mendoakan kebaikan juga buat diri kita sendiri.
Ya Allah,
Ampunilah dosa dan ketelanjuran kami,
Jauhkan kami dari cuba menumpang hakMu,
Jauhkan kami dari rasa dendam dan sakit,
Kami manusia, yang tidak malu berbuat dosa,
Yang tidak segan mengumpul noda,
Ampunilah kami, hambaMu yang hina,
Berikanlah kami hati yang tabah, hati yang kuat,
Untuk memberi maaf, demi mencari ampunanMu...
Amin ya Rabb.
- Lajnah Kebajikan 12/13 -
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment