Sunday, November 4, 2012

PENGHARAPAN KITA KEPADA ALLAH




 Manusia kadang-kala mengalami perasaan sedih, kecewa, marah, gembira, bahagia, takut dan sebagainya yang boleh mengubah tindakan seseorang itu daripada perlakuan biasa seseorang manusia. Juga daripada pemikiran yang waras kepada perlakuan atau akhlak yang tidak dituntut dalam ajaran Islam. Islam menggalakkan umatnya untuk sentiasa berdoa kepada Allah SWT kerana adanya konsep tawakal atau berserah dan pengharapan kita kepadaNya dalam setiap apa yang kita kerjakan contohnya  apabila kita sedang memandu kenderaan, ketika kita hendak tidur, ketika kita menyiapkan tugasan dan sebagainya. Apabila kita berdoa, kita seolah-olah telah membina satu jambatan untuk kita sampaikan keingingan atau sesuatu yang kita hajatkan kepada Tuhan.            

                Sebagai seorang mahasisiwa Islam yang terpaksa memikul amanah yang besar iaitu untuk belajar dan mencari ilmu di universiti atau kolej ini sememangnya menguji kekuatan dan ketahanan kita dalam melaksanakan tanggungjawab ini. Kita bukan sahaja datang ke kuliah-kuliah pusat pengajian untuk balajar tetapi juga berperanan dalam menjadi seorang da’ie atau pendakwah Islam yang menyeru kepada Allah SWT. 

                 Segala gerak kerja yang kita lakukan ini, perlulah selari dengan pengharapan kita kepada Allah SWT kerana kita merupakan hamba yang mahukan setiap perbuatan kita  mendapat keredhaan dan keberkatanNya.Doa seseorang hamba  yang bersungguh-sungguh dan ikhlas akan menjadi penghubung kepada seseorang dengan penciptanya. Doa yang kita pohon mestilah sesuatu yang baik  seperti dalam firman Allah dalam Surah Al-Baqarah yang bermaksud: “Maka di antara manusia ada yang berdoa, ‘Ya Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia’. Dan tiadalah baginya kebahagian di akhirat. Dan di antara mereka ada yang berdoa, ‘Ya Tuhan kami, berilah  kami kebaikan di dunia dan di akhirat dan peliharalah kami dari azab neraka.’ Mereka itulah orang-orang yang mendapat kebahagian dari apa yang mereka usahakan. Dan, Allah sangat cepat perhitungan-Nya.” (Al-Baqarah: 200-202)     

Janganlah kita bersedih jika sesuatu yang kita mohon atau hajatkan kepada Allah SWT tidak dimakbulkan kerana semua yang berlaku itu mungkin ada hikmah di sebaliknya dan Allah ingin menguji hamba-hambaNya supaya terus istiqamah untuk berdoa kepadaNya. Malahan Nabi Zakaria  sendiri pernah diuji di mana baginda tidak dikurniakan anak disebabkan isteri baginda tidak dapat melahirkan anak. Walaupun begitu, baginda tidak putus harapan sehinggalah usia baginda sudah lanjut dan memohon doa serta pengharapan kepada Allah supaya dikurniakan anak. Akhirnya doa Nabi Zakaria dimakbulkan dan dikurniakan serang anak lelaki yang bernama Yahya seperti yang diceritakan di dalam Al-Quran. Semoga segala sesuatu yang kita lakukan dan disertakan dengan doa akan dipermudahkan serta mendapat keredhaan daripada Allah SWT. InsyaAllah.

oleh:
 mohd azizul bin talib...exco ekonomi

No comments:

Post a Comment