Wednesday, June 22, 2011

MESRA AIDILFITRI Syawal 1432H


Pihak Alumni akan menganjurkan satu jamuan Hari Raya sebagaimana berikut:

Tarikh        : 5 Syawal 1432 H
Bersamaan : 3 September 2011
Hari           : Sabtu
Jam            : 8.30pg -2.00 ptg
Tempat      : Dewan Besar SMASID

Semua bekas pelajar SMASID (sejak awal penubuhan sehingga SPM 2010) dijemput hadir.

Sebarang pertanyaan, hubungi:
Fadhlan : 019-5325302
Najwa  :  019-2493606


Semoga pertemuan seperti ini mengeratkan lagi hubungan silaturrahim sesama bekas pelajar SMASID.

Tuesday, June 21, 2011

- ANTARA MALU DAN MAHU -

Gambar demi gambar saya tatapi. Dengan pelbagai gaya dan berencam warna, terdapat lebih seratus foto silih berganti mengambil ruang pada skrin komputer.
Tidak sukar, tidak perlu menyelak lembar demi lembar. Hanya menekan mouse di bahagian kiri, keseluruhan foto-foto yang ada dapat saya lihat sepuasnya. Jika ingin mengulang tatap, teruskan sahaja menekan, pusingan gambar akan terus beredar. Satu demi satu.
Saya akui, kesemuanya cantik, comel dan ayu. Sememangnya, mereka gadis-gadis yang bertuah kerana memiliki kecantikan wajah. Mungkin kerana itu, mereka berusaha menampilkan gambar dalam pose terbaik dan tercantik untuk beradu nasib dalam pertandingan menggayakan tudung itu.
Akan tetapi, jauh di sudut hati, saya sedih dan gundah.
Bagai ada sesuatu yang terbuku di dada saya rasakan, tetapi tidak terluah.
Saya melanjutkan pandangan mata pada komen-komen yang bertemali di bawah setiap gambar. Ada kata-kata pujian serta pujuk rayu agar gambar mereka diundi. Gulana saya bertali sehinggalah saya menemukan komen dari seorang lelaki di bawah foto seorang gadis berpakaian t-shirt panjang tetapi agak ketat, bertudung kepala yang tidak cukup melindungi dada dengan legging hitam menutupi kakinya :
“Ini bukan hijab.”
Kata-katanya itu, disambut satu pertanyaan :
then what?”


KEGHAIRAHAN
Saya yakin, sudah terlalu banyak peringatan dan nasihat yang diberikan tentang muslimah dan gambar. Dan saya pasti, gadis-gadis yang menyertai pertandingan tersebut juga ramai yang telah sedia maklum tentang batas sempadan untuk gambar-gambar indah mereka dipertontonkan.
Sayangnya, keghairahan mempamer gambar masih tidak berkurang, malah ia kian menjadi-jadi. Perlumbaan demi perlumbaan diketengahkan. Tidak cukup dengan televisyen dan majalah, saluran internet menerusi laman-laman sosial menjadi sarana efektif yang melebarkan pesona muslimah.
Situasi Ini ditambah lagi dengan kemunculan kerjaya dan hobi yang dijalankan secara full-time atau part-time, yang banyak berasaskan kepada elemen kecantikan, dandanan dan paparan wajah seperti model busana muslimah, jurumekap dan jurugambar ( photographer).
Permintaan dari pasangan raja sehari untuk mengabadikan momen bersejarah dengan pelbagai aksi dan sisi juga tidak kurang hebatnya terutama ketika musim cuti sekolah di mana banyak majlis resepsi dan perkahwinan diadakan.
Tidak mengapa andai ia sekadar untuk simpanan peribadi dan tatapan kaum keluarga semata-mata, akan tetapi bila ianya dikongsi untuk tatapan umum di laman maya, maka sudah pasti ada keburukan tanpa sedar tercipta darinya.

HIKMAH YANG HILANG
Melihat perkembangan kurang sihat ini, saya sangat kecewa. Terlalu ramai di kalangan wanita Islam hari ini yang turut terkena tempias obses kepada kecantikan dan menyebarluas keindahan yang sewajarnya diperlihatkan hanya kepada yang halal.
Mereka menamakan tabarruj sebagai hijab dan menamakan maksiat sebagai ketaatan. Bukankah ini sangat tersasar? Kerana itu, saya membenar dan menegaskan komentar dari seorang lelaki di atas bahawa :
”Ini bukan hijab!”
Hakikatnya, semakin galak golongan muda belia ini mempertontonkan kecantikan, maka semakin sirnalah hikmah dan pesona kebaikan dari tujuan menutup aurat ( hijab ) yang sebenarnya sebagaimana yang diwar-warkan oleh syari’at yang mulia.
Antaranya :
1) Hijab itu adalah pesona kemuliaan ( ‘iffah ). Ia bertindak sebagai benteng yang kukuh untuk menjauhkan seorang gadis dari maksiat, gangguan lelaki jahat dan seterusnya meninggikan darjat kemuliaannya di tengah-tengah masyarakat.
Inilah yang menjarakkan darjat kemuliaan antara muslimat mukminat dan wanita-wanita jahililiah kerana wanita jahiliah, tatkala keluar dari rumah, mereka ingin tampil berbeza dan lebih dari wanita yang lain. Pujian dan sanjungan adalah matlamat utama terutama dari lelaki-lelaki yang tertarik dengan kejelitaan dan keindahan mereka.
Firman ALLAH SWT yang bermaksud :
“Hai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: “Hendaklah mereka menghulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak akan diganggu.” ( Surah Al-Ahzab ayat 59 )
Ingin juga saya kongsikan satu riwayat menginsafkan berkenaan muslimat mukminat di zaman Rasulullah SAW.
Dari Safiyah binti Syaibah, beliau berkata: “Ketika kami bersama Aisyah r.a, Aisyah berbicara : “Aku terkenang akan wanita-wanita Quraisy dan keutamaan mereka.” Lalu Aisyah melanjutkan : “Sesungguhnya wanita-wanita Quraisy memiliki keutamaan, dan demi ALLAH, aku tidak melihat wanita yang lebih percaya kepada kitab ALLAH dan lebih meyakini ayat-ayat-NYA melebihi wanita-wanita Ansar. Ketika turun kepada mereka ayat: “Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya.” ( Surah An-Nur ayat 31 ), maka para suami bersegera mendatangi isteri-isteri mereka dan membacakan apa yang diturunkan oleh ALLAH kepada para muslimah. Mereka membacakan ayat itu kepada isteri, anak gadis, saudara perempuan dan kaum kerabat. Dan tidak ada seorangpun di antara wanita itu kecuali mereka semuanya segera berdiri mengambil kain tirai dan menutupi kepala dan wajah mereka, lantaran percaya dan beriman kepada apa yang diturunkan ALLAH dalam kitab-NYA. Sehingga mereka (berjalan) di belakang Rasulullah SAW dengan kain penutup seakan-akan di atas kepala mereka terdapat burung gagak.”
2) Hijab itu adalah pesona kesucian hati. Peranan ini diiktiraf sendiri oleh ALLAH SWT kerana dengan ‘hijab’ yang benar, ia mampu melindungi pemakainya dari dilihat oleh lelaki secara tidak wajar seterusnya meleburkan keinginan-keinginan syahwat yang mungkin timbul dari pandangan mata tersebut. Dengan ini, mata yang ter’hijab’ dapat menjamin kesucian hati pemiliknya dan orang-orang yang berurusan bersama mereka. Inilah manfaat yang boleh difahami dari Firman ALLAH SWT yang bermaksud :
“Apabila kamu meminta suatu (keperluan) kepada mereka (isteri-isteri Nabi), maka mintalah dari belakang tabir. Cara yang demikian itu lebih suci bagi hatimu dan hati mereka.” ( Surah Al-Ahzab ayat 53 )
3) Hijab itu adalah pesona akhlak. Muslimah yang baik dan bertaqwa adalah muslimah yang mendahulukan malu dari mahu untuk mempamer foto-fotonya yang indah itu. Tindakan ini bukan sekadar dapat menjaga imannya dari diganggu, malahan ia telah menyelamatkan iman para jejaka dari dirobek gejolak nafsu, juga iman para muslimah lainnya dari cemburu melulu.
Selanjutnya, bila keimanan masing-masing terpelihara, maka ketinggian akhlak juga akan turut terus melata. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
“Malu dan iman itu bergandingan bersama, bila salah satunya diangkat maka yang lainpun akan terangkat.”

BEAUTY AND THE BEAST
Melihat kepada obsess muda mudi kini kepada kecantikan, saya teringat kepada satu rancangan dokumentari bertajuk : Beauty and the beast: ugly face of prejudice, yang baru saja ke udara baru-baru ini menerusi satu saluran televisyen di UK.
Siri ini mengenengahkan investigasi tentang perbezaan dua individu yang ditakrifkan oleh cara mereka menanggapi, melihat dan menilai sesuatu.

Episod pertama rancangan ini menampilkan Leo, seorang lelaki di awal usia 60 yang memiliki wajah, tangan dan kaki kiri yang cacat akibat kebakaran sewaktu berumur 14 tahun, manakala seorang lagi ialah Yasmin, seorang gadis di awal usia dua puluhan yang terlalu obses dengan kecantikan. Hampir 40 hari setahun, iaitu lebih dua jam sehari masanya diperuntukkan di hadapan cermin. Ribuan pound juga dibelanjakan sebulan hanya untuk membeli peralatan solekan.
Sebelum keluar, wajahnya yang sedia jelita dioles sesempurna mungkin agar dapat berhadapan masyarakat dengan wajah tidak polos tanpa warna.
Berbeza dengan Yasmin yang sangat teruja melakukan apa sahaja demi kecantikan agar dapat tampil mempesona seperti selebriti dan artis ternama, Leo sebaliknya sangat menentang pembedahan plastik untuk tujuan kosmetik. Menurut Leo, secara khususnya seorang wanita sanggup menekan dirinya sendiri untuk cuba meniru kesempurnaan fizikal yang banyak ditampilkan di media. Dan inilah yang sedang dialami oleh Yasmin, seorang ‘penagih’ kecantikan paras rupa.
Di akhir rancangan, dengan bantuan Dr. Laxmi Kathuria, seorang pakar psikiatri yang mengkhusus kepada citra tubuh, Leo dapat menjeroka alasan sebenar di sebalik keghairahan Yasmin.
Perbualan demi perbualan dari pengisian masa bersama Leo, menyedarkan Yasmin bahawa kecantikan bukanlah segalanya kerana ia tercerna dari persepsi yang diinginkan oleh masyarakat ramai. Sedangkan kecantikan asli yang ada sepatutnya sudah cukup untuk dihargai dan lebih membebaskan dirinya dari menyia-nyiakan masa, tenaga juga wang ringgit untuk memenuhi persepsi massa.
Leo yang telah berkeluarga dan ayah kepada tiga cahaya mata juga berjaya membuka mata Yasmin bahawa pasangan yang baik adalah yang boleh menerima dia seadanya kerana sikap positif dan nilai hidup yang baik lebih diperlukan untuk kelansungan perhubungan yang bahagia.

SECARA ZAHIR
Untuk apa gadis-gadis muda remaja itu melakukan hal tersebut hanya mereka yang dapat menjawabnya. Pada saya, untuk menelah atau meneka-neka niat dan tujuan yang tersembunyi di dalam hati seseorang bukanlah sesuatu yang dituntut untuk dilakukan oleh mana-mana muslim/muslimah yang berusaha mencapai taqwa, lantaran Rasulullah SAW sendiri menetapkan sesuatu hukum berdasarkan apa yang didengar dan dilihat oleh zahir mata sahaja sebagaimana penegasan baginda menerusi sabdanya yang bermaksud:
“Sesungguhnya aku hanya manusia, dan kamu sentiasa membawa kes pertikaian untuk di selesaikan olehku, dan mungkin sebahagian kami lebih cekap berhujjah dari sebahagian lainnya, maka aku telah memutuskan hukuman berdasarkan apa yang kudengari sahaja. Barangsiapa yang telah ku jatuhi hukuman dan hukuman itu mengambil hak yang lain (akibat kurang cekap pihak yang benar dalam berhujjah), maka jangalah kamu mengambilnya, sesungguhnya ia bakal menjadi sepotong api neraka.” (Riwayat Abu Daud, Tirmidzi dan lain-lain: Rujuk Naylul Awtar, 8/632, no 3920 )
Hadith di atas jelas menunjukkan bagaimana sikap seorang hakim ( dalam Islam ) melaksanakan hukum, iaitu berdasar kepada info dan bukti zahir yang diberikan.
Demikian juga dalam masalah penyebaran gambar-gambar muslimah menutup aurat tetapi masih bersolek cantik dalam gaya yang kurang manis. Insafilah, bahawa dengan penonjolan dirinya itu, setiap lelaki yang melihat dengan syahwat akan memperoleh dosa.
Sedang di pihak si gadis jelita, dia bukan setakat mendapat satu dosa bagi kesalahan itu, tetapi juga meraih setiap dosa semua lelaki yang memandangnya. Bayangkanlah berapa banyak dosa yang diperolehi hanya dengan mempamerkan diri setiap hari.
Baginda SAW bersabda yang bermaksud :
“Sesiapa yang mempelopori sesuatu yang buruk, maka ke atasnya dosa dan dosa setiap orang yang membuatnya tanpa sedikit kurang pun dosanya..” ( Riwayat Ahmad dan lain-lain : Sohih )

ANTARA MALU DAN MAHU
Sungguh pilu memikirkan betapa Rasulullah dan para sahabat dahulunya bermandi keringat dan darah demi mempertahankan maruah Islam termasuk adanya peperangan akibat cemburu atas seorang wanita dan untuk menjaga kehormatannya.
Kini, muslimah sendiri yang mengurangi nilai diri mereka dengan berlumba-lumba menyertai pertandingan kecantikan demi meraih gelaran, pengiktirafan dan ganjaran.
Islam datang membawa penawar, agar penyakit masyarakat dapat diubat, tetapi dengan gejala kurang sihat yang melanda ini, penawar akan hilang berganti tuba yang akan mematikan hati manusia.
Justeru, muslimahku, tanyalah hatimu. Antara malu dan mahu, yang manakah kalian perlu?
Kutinggalkan kalian dengan barisan kata-kataku yang lahir dari lubuk hati ini :
“ Menatap foto-foto indah mu, terbit persoalan dihatiku: Sudah semakin pudarkah kecemburuan seorang suami terhadap isteri, telah sirnakah kecemburuan ibu bapa terhadap anak dan telah hilangkah kepedulian sahabat dan teman? Beruntunglah andai suami menegur, bertuahlah andai ibubapa menasihati, bersyukurlah andai teman menegur silap diri, itu tanda masih ada cemburu pada mereka, kerana cemburu itu tanda mereka sangat menyintai dan menyayangi anda.”

Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.
Jumpa lagi, InsyaALLAH.

Saturday, June 4, 2011

Siapa Kita ???



SIAPA KITA ? jika ditanyakan soalan ini,pasti ramai yang TAHU menjawab kita adalah hamba Allah.Namun,berapa ramai antara kita yang SEDAR bahawa kita hamba Allah?.Ya, ramai manusia hanya tahu tetapi tidak sedar,lantas dia hidup bagai “Tuan” di dunia ini.sikap berlagak, sombong,bangga,tamak,pemarah,kedekut menjadi tabiat. Makna Tahu & Sedar sangat berbeza. Tahu letaknya di akal- dengan memiliki ilmu dan maklumat, sedangkan sedar letaknya di hati- dengan memiliki penghayatan & hikmah.Sedar adalah mendalam,melibatkan kemahuan dan amali. Hakikat sebenar kesedaran boleh kita singkapkan dengan kata hikmah Saidina Ali; “ Manusia ketika hidup di dunia semuanya tidur ( mimpi ),bila mati nanti barulah mereka terjaga ( tersedar )”. Apa yang tersirat pada kata-kata ini ialah seseorang itu pabila mati kelak barulah hakikat kehidupan itu tersingkap. Tika alam kubur menjadi rumah,amalan di dunia penentu bahagia,menyesallah Sang Penderhaka pada Allah Taala yang Maha Esa. Tapi sayangnya,penyesalan tidak berguna,keinsafan tiada makna dek kerana buruan dunia hanyalah nafsu & dosa. Terbabas di jalan dunia akibat buta mata hati. Nah,terpukul jiwa yang masih bernafas dengan nikmat kurniaan-Nya.Alhamdulillah, kita diperingatkan lagi dengan hadith baginda yang bermaksud “ Allah suka orang yang bertaubat,tetapi Allah lebih suka orang muda yang bertaubat ”.

Apa yang dimaksudkan oleh Saidina Ali dengan “tersedar” merujuk kepada mata di hati.Inilah yang disebutkan dalam Al-Quran dalam surah Al-Hajj:46, “ Apakah mereka tidak berjalan di muka bumi,lalu dengan hati yang mereka miliki dapat memahaminya atau dengan telinga yang mereka miliki dapat mendengar semuanya? Sesungguhnya (mereka tidak memahaminya) bukanlah kerana mata yang buta,tetapi yang buta itu ialah hati yang tersembungi di dada.” Ayuh diri,lihatlah alam dengan mata hati,fikirlah hikmah dengannya,nilailah sesuatu menggunakannya tetapi dengan syarat kesucian & kebersihan hati itu terjaga.Itulah pandangan yang paling tepat dan benar kerna ia mampu melihat apa yang tersirat disertai kesedaran.
Kesedaran adalah gerbang awal kepada perubahan diri.Ia mendorong fikiran,jiwa dan emosi,inilah yang dinamakan SEMANGAT untuk berubah  dalam berperanan sebagaimana dituntut Syariat; menjadi hamba dan khalifah Allah.kita hayati kata hukama, “ Untuk membaiki dunia,baiki manusianya.Dan untuk membaiki manusia, baiki hatinya”.



Sebenarnya, manusia memandang apa jua dengan 4 jenis pandangan : 1) Pandangan mata yang sifatnya selalu menipu. 2) Pandangan akal pula sifatnya selalu tersalah dan terbatas. 3) Pandangan nafsu yang sifatnya selalu melulu serta terbabas. 4 ) pandangan mata hati adalah pandangan yang paling tepat.Hati pada asalnya bers ih dan baik selagi mana tidak dicemari dengan noda dan dosa.
Gunalah mata hatimu dalam merealisasikan visi hidupmu. Tanyakan pada diri “ ke mana umur mudamu sudah kamu habiskan? Sebelum soalan ini ditanya kelak di padang mahsyar. Tetapkan matlamatmu iaitu abdikan diri pada Allah Taala dengan sepenuhnya. 3 Asas membina Ubudiyah adalah Iman yang benar lagi tulus,pegangan yang teguh dengan pertimbangan ilmu dan tuntutan Al-Quran serta beramal dengan pedoman yang betul.


Kata Imam Al-Ghazali: “Carilah hatimu pada 3 tempat... carilah hatimu sewaktu bangun membaca Al-Quran.Jika tidak kau temui,carilah hatimu ketika mengerjakan solat.Jika kau tidak temui juga, carilah hatimu dengan duduk tafakur mengingati mati.Jika kau tidak temui juga,maka berdoalah pada Allah,pinta hati yang baru,kerana hakikatnya pada ketika itu kau tidak mempunyai hati”.


Ingatlah diri, mata hati akan celik hanya apabila kita melihat kehidupan ini sejajar dengan kehendak atau ketetapan Allah Taala. Jika tidak, terjadilah apa yang ditegaskan oleh Allah Taala menerusi firman-Nya yang bermaksud; “ Dan sesungguhnya kami sediakan bagi neraka jahanam itu golongan jin dan manusia yang mereka itu mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya, dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya, dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya; mereka itu ibarat binatang ternak,bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.” ( Surah al-A’raaf : 179 ).
Wallahua’lam...




Pres/Timb.Pres/Naib Pres