Saturday, June 4, 2011

Siapa Kita ???



SIAPA KITA ? jika ditanyakan soalan ini,pasti ramai yang TAHU menjawab kita adalah hamba Allah.Namun,berapa ramai antara kita yang SEDAR bahawa kita hamba Allah?.Ya, ramai manusia hanya tahu tetapi tidak sedar,lantas dia hidup bagai “Tuan” di dunia ini.sikap berlagak, sombong,bangga,tamak,pemarah,kedekut menjadi tabiat. Makna Tahu & Sedar sangat berbeza. Tahu letaknya di akal- dengan memiliki ilmu dan maklumat, sedangkan sedar letaknya di hati- dengan memiliki penghayatan & hikmah.Sedar adalah mendalam,melibatkan kemahuan dan amali. Hakikat sebenar kesedaran boleh kita singkapkan dengan kata hikmah Saidina Ali; “ Manusia ketika hidup di dunia semuanya tidur ( mimpi ),bila mati nanti barulah mereka terjaga ( tersedar )”. Apa yang tersirat pada kata-kata ini ialah seseorang itu pabila mati kelak barulah hakikat kehidupan itu tersingkap. Tika alam kubur menjadi rumah,amalan di dunia penentu bahagia,menyesallah Sang Penderhaka pada Allah Taala yang Maha Esa. Tapi sayangnya,penyesalan tidak berguna,keinsafan tiada makna dek kerana buruan dunia hanyalah nafsu & dosa. Terbabas di jalan dunia akibat buta mata hati. Nah,terpukul jiwa yang masih bernafas dengan nikmat kurniaan-Nya.Alhamdulillah, kita diperingatkan lagi dengan hadith baginda yang bermaksud “ Allah suka orang yang bertaubat,tetapi Allah lebih suka orang muda yang bertaubat ”.

Apa yang dimaksudkan oleh Saidina Ali dengan “tersedar” merujuk kepada mata di hati.Inilah yang disebutkan dalam Al-Quran dalam surah Al-Hajj:46, “ Apakah mereka tidak berjalan di muka bumi,lalu dengan hati yang mereka miliki dapat memahaminya atau dengan telinga yang mereka miliki dapat mendengar semuanya? Sesungguhnya (mereka tidak memahaminya) bukanlah kerana mata yang buta,tetapi yang buta itu ialah hati yang tersembungi di dada.” Ayuh diri,lihatlah alam dengan mata hati,fikirlah hikmah dengannya,nilailah sesuatu menggunakannya tetapi dengan syarat kesucian & kebersihan hati itu terjaga.Itulah pandangan yang paling tepat dan benar kerna ia mampu melihat apa yang tersirat disertai kesedaran.
Kesedaran adalah gerbang awal kepada perubahan diri.Ia mendorong fikiran,jiwa dan emosi,inilah yang dinamakan SEMANGAT untuk berubah  dalam berperanan sebagaimana dituntut Syariat; menjadi hamba dan khalifah Allah.kita hayati kata hukama, “ Untuk membaiki dunia,baiki manusianya.Dan untuk membaiki manusia, baiki hatinya”.



Sebenarnya, manusia memandang apa jua dengan 4 jenis pandangan : 1) Pandangan mata yang sifatnya selalu menipu. 2) Pandangan akal pula sifatnya selalu tersalah dan terbatas. 3) Pandangan nafsu yang sifatnya selalu melulu serta terbabas. 4 ) pandangan mata hati adalah pandangan yang paling tepat.Hati pada asalnya bers ih dan baik selagi mana tidak dicemari dengan noda dan dosa.
Gunalah mata hatimu dalam merealisasikan visi hidupmu. Tanyakan pada diri “ ke mana umur mudamu sudah kamu habiskan? Sebelum soalan ini ditanya kelak di padang mahsyar. Tetapkan matlamatmu iaitu abdikan diri pada Allah Taala dengan sepenuhnya. 3 Asas membina Ubudiyah adalah Iman yang benar lagi tulus,pegangan yang teguh dengan pertimbangan ilmu dan tuntutan Al-Quran serta beramal dengan pedoman yang betul.


Kata Imam Al-Ghazali: “Carilah hatimu pada 3 tempat... carilah hatimu sewaktu bangun membaca Al-Quran.Jika tidak kau temui,carilah hatimu ketika mengerjakan solat.Jika kau tidak temui juga, carilah hatimu dengan duduk tafakur mengingati mati.Jika kau tidak temui juga,maka berdoalah pada Allah,pinta hati yang baru,kerana hakikatnya pada ketika itu kau tidak mempunyai hati”.


Ingatlah diri, mata hati akan celik hanya apabila kita melihat kehidupan ini sejajar dengan kehendak atau ketetapan Allah Taala. Jika tidak, terjadilah apa yang ditegaskan oleh Allah Taala menerusi firman-Nya yang bermaksud; “ Dan sesungguhnya kami sediakan bagi neraka jahanam itu golongan jin dan manusia yang mereka itu mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya, dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya, dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya; mereka itu ibarat binatang ternak,bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.” ( Surah al-A’raaf : 179 ).
Wallahua’lam...




Pres/Timb.Pres/Naib Pres




No comments:

Post a Comment