Showing posts with label By: S/U dan TIMBALAN S/U. Show all posts
Showing posts with label By: S/U dan TIMBALAN S/U. Show all posts

Thursday, January 5, 2012

Menjawab Alasan Mereka Yang Tak Nak Menutup Aurat

Sejak akhir-akhir ini, saya seringkali mendapat pertanyaan yang sama mengenai isu-isu aurat. Bagaimana hendak menjawab alasan mereka yang tak nak menutup aurat? Bagaimana hendak menarik mereka memakai tudung? Bagaimana nak memberi kefahaman kepada mereka tentang aurat? Dan lain-lain lagi.
Di sini saya berusaha mengumpul alasan-alasan dan hujah-hujah balas buat si pelaku dedah aurat. Terima kasih kepada sumber berkenaan, boleh rujuk untuk jawapan penuh. Dan artikel ini bukan sahaja tertumpu pada isu bertudung, malah juga buat muslimah yang bertudung pendek, memakai sendat serta kaum muslimin sendiri yang mendedah aurat. Insyaallah semoga bermanfaat buat mereka yang tercari-cari jawapan mengenai isu ini.
1. Walaupun dedah aurat, diri masih menjaga maruah dan tidak melakukan perkara tak senonoh?
”Janganlah nilai orang dari luarannya. Don’t judge a book by its cover!”
“Walaupun tidak pakai tudung, saya tetap masih jaga solat dan menjaga tingkah laku”
Jawapan:
Adakah anda mendakwa diri anda mempunyai hati yang suci, iman yang tinggi dan kononnya ia sudah cukup menjamin maruah diri tanpa perlu menutup aurat? Tetapi adakah anda berani menjamin bahawa semua lelaki ajnabi yang melihat aurat anda mempunyai hati sesuci dan iman setinggi anda juga?
Langsungkah mereka tidak memberi kesan dan tidak membangkitkan nafsu serakah mereka yang berada di hadapan anda? Jadi, perlu diberi kefahaman bahawa kewajipan wanita menutup aurat bukanlah semata-mata untuk menjaga maslahat dan maruah pihak wanita itu sendiri, tetapi maslahah yang lebih besar ialah menjaga masyarakat yang berada di sekelilingnya agar tidak terfitnah disebabkan budaya mendedahkan aurat.
Betapa banyak kes-kes jenayah rogol dan cabul berpunca daripada wanita sendiri yang mempamerkan tubuh badannya yang terdedah di hadapan khalayak lelaki. Maka tutuplah aurat bukan sekadar untuk anda, tetapi juga demi kemaslahatan orang lain di sekeliling.
2. Perempuan yang bertudung lebih teruk daripada tak bertudung?
“Ala… perempuan pakai tudung pun berperangai buruk!”
“Ada juga rakan saya yang betul-betul menutup aurat tetapi perangai dan kelakuan mereka lebih teruk dari perempuan yang tidak memakai tudung!”
“Ada seorang kakak tu pakai tudung, tapi perangai buruk, mengumpat sana mengumpat sini”
“Siapa kata orang tak pakai tudung semua jahat?”
Jawapan:
Ungkapan anda ini seolah-olah sedang memperlekehkan insan yang sedang berusaha mentaati perintah Allah (dalam bab tutup Aurat). Apakah anda perasan bahawa anda sudah lebih baik berbanding insan yang menutup aurat tersebut apabila anda berani melafazkan ungkapan seperti itu, sedangkan anda sendiri membiarkan aurat anda terbuka?
Salah sama sekali dalam hal ehwal agama, untuk kita membandingkan diri kita dengan mereka yang lebih buruk agama dan akhlak. Ia adalah teknik Syaitan untuk menghentikan seseorang dari melakukan usaha pemulihan diri kepada yang lebih baik.
Nabi bersabda: Dua perkara yang sesiapa dapat perolehinya akan ditulis dirinya sebagai hamba yang bersyukur dan sabar, sesiapa yang gagal dalamnya, tidak akan ditulis sebagai orang bersyukur dan sabar. Iaitu sesiapa yang melihat tentang agamanya kepada mereka yang jauh lebih baik darinya, lalu dia berusaha mengikutinya, dan dalam hal keduniaan mereka melihat kepada orang-orang yang kurang darinya sehingga ia memuji Allah atas nikmat yang diperolehinya. (HR At-Tirmidzi)
.
3. Tidak mahu hipokrit bila bertudung?
“Bertudung ni perlukan keikhlasan…”
“Saya mahu berubah kerana saya sendiri yang ingin berubah. Saya mahu melakukannya dengan ikhlas, bukan kerana disuruh.”
“Buat apa pakai tudung kalau hati tak betul”
Jawapan:
Allah swt dan RasulNya telah mengarahkan seluruh wanita muslimah WAJIB untuk menutup aurat tidak kira sama ada seseorang itu ikhlas atau tidak, suka atau tidak, disuruh oleh orang lain atau terbit dari hatinya sendiri. Sama seperti mendirikan solat, membayar zakat, puasa Ramadhan dan semua arahan serta larangan Islam yang lain, sama ada seseorang itu ikhlas atau tidak, terpaksa atau tidak. Sekiranya ikhlas dijadikan alasan maka, ramai diluar sana tidak perlu solat 5 waktu kerana sukar mencapai tahap keikhlasan yang ingin dicapai.
Perlu diingatkan, jika seseorang menutup aurat secara ikhlas atau separa ikhlas, maka dia akan beroleh ganjaran sekadar keikhlasannya. Namun tanggungjawab fizikal yang diwajibkan oleh agama dikira sudah terlaksana secara zahirnya. ATAU kata lainnya, tatkala itu dia hanya BERDOSA SEKALI iaitu kerana tidak melaksanakannya secara ikhlas, tetapi dia terhindar dari dosa tidak mengerjakan yang wajib ke atasnya secara zahir.
Namun jika dia degil dan tidak menutup aurat, atas alasan TIDAK IKHLAS, TIDAK MAHU HIPOKRIT dan sebagainya, tindakannya itu menjadikannya BERDOSA di sisi Allah secara fizikal dan juga spiritual, atau dalam kata lainnya, dia berdosa DUA KALI.
Dosa di level pertama dan kedua sekaligus, malah lebih musnah apabila dosa level pertama itu sangat mudah bercambah apabila ia berjangkit kepada orang lain, seperti apabila sahaja ada mata lelaki bukan mahram yang melihat, ketika itu dosa bukan hanya dua kali tetapi sebanyak mata lelaki yang melihat. Adapun bagi mereka yang tidak ikhlas tadi, at least dia sudah terselamat dari cambahan dosa dari mata lelaki.
4. Menunggu seru untuk bertudung?
“Biarlah ianya datang daripada saya sendiri, bukan dipaksa sesiapa. Bila tiba masa, Insyaallah saya bertudung”
“Saya tahu hari itu akan tiba tetapi bukan sekarang”
“Insyaallah, apabila sudah berkahwin barulah saya bersedia”
Jawapan:
Jika bukan sekarang, maka adakah apabila sudah terlantar di rumah mayat baru ingin berubah? Sedarilah wahai diri, bahawa kematian akan datang secara tiba-tiba dan tiada sebarang jaminan umur masih panjang beberapa minggu lagi.
“Katakanlah kepada wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang bisa nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan jangan menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka atau ayah mereka atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara mereka, putera-putera lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang ‘aurat wanita. Dan jangalah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka.Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.” - surah an-Nur ayat 31

Saturday, December 17, 2011

Kedudukan Adab di dalam Islam

+ Rasulullah s.a.w pernah berpesan kepada sebahagian para Sahabatnya : Sesungguhnya kamu bertemu dengan saudara-saudaramu sekalian , maka percantikkanlah pakaian kamu,perbaikilah tunganggan kamu, sehingga kamu itu seolah-olah tahi lalat di kalangan manusia, Sesungguhnya Allah tidak menyukai ketidaksopanan dan kurang adab [ berkata Syeikh Abdul Fattah :Diriwayatkan oleh Abu Daud dan Al-Imam Ahmad dan Al-Hakim dalam 'Mustadrak' daripada hadith Sahl bin Al-hanzaliah r.a]
 
+ Berkata Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah : Maksud disini (tahi lalat) adalah hendaklah mereka itu terselah dengan kecantikan dan kebersihan mereka dengan bau-bauan yang harum dan penampilan yang kemas sepertimana jelasnya tahi lalat di rupa wajah yang cantik dan dengan tahi lalat itu wajah tersebut bertambah terserlah.
 
+ Berkata Al-Imam Al-Qurafi dalam kitabnya " Al-Faroq" ( ketika beliau sedang berbicara tentang kedudukan adab berbanding amal , dan menjelaskan bahawa adab lebih didahulukan mengikut turutan ) : Ketahuilah bahawa Sesungguhnya sedikt daripada adab lebih baik dari banyaknya amalan ,oleh kerana itu telah berkata Ruwaim seorang yang alim dan soleh kepada anaknya : Wahai anakku jadikanlah amalanmu seperti garam,dan adabmu seperti tepung iaitu perbanyakkanlah beradab sehingga nisbahnya itu seperti banyaknya tepung daripada garam ( dalam adunan) ,maka banyaknya adab dalam keadaan amal yang sedikit lebih baik daripada amal yang banyak tetapi kurang adabnya [ dinaqalkan oleh Syeikh Abdul –Fattah Abu Ghuddah di dalam kitabnya 'min Adabi Alislam ]

Tuesday, June 21, 2011

- ANTARA MALU DAN MAHU -

Gambar demi gambar saya tatapi. Dengan pelbagai gaya dan berencam warna, terdapat lebih seratus foto silih berganti mengambil ruang pada skrin komputer.
Tidak sukar, tidak perlu menyelak lembar demi lembar. Hanya menekan mouse di bahagian kiri, keseluruhan foto-foto yang ada dapat saya lihat sepuasnya. Jika ingin mengulang tatap, teruskan sahaja menekan, pusingan gambar akan terus beredar. Satu demi satu.
Saya akui, kesemuanya cantik, comel dan ayu. Sememangnya, mereka gadis-gadis yang bertuah kerana memiliki kecantikan wajah. Mungkin kerana itu, mereka berusaha menampilkan gambar dalam pose terbaik dan tercantik untuk beradu nasib dalam pertandingan menggayakan tudung itu.
Akan tetapi, jauh di sudut hati, saya sedih dan gundah.
Bagai ada sesuatu yang terbuku di dada saya rasakan, tetapi tidak terluah.
Saya melanjutkan pandangan mata pada komen-komen yang bertemali di bawah setiap gambar. Ada kata-kata pujian serta pujuk rayu agar gambar mereka diundi. Gulana saya bertali sehinggalah saya menemukan komen dari seorang lelaki di bawah foto seorang gadis berpakaian t-shirt panjang tetapi agak ketat, bertudung kepala yang tidak cukup melindungi dada dengan legging hitam menutupi kakinya :
“Ini bukan hijab.”
Kata-katanya itu, disambut satu pertanyaan :
then what?”


KEGHAIRAHAN
Saya yakin, sudah terlalu banyak peringatan dan nasihat yang diberikan tentang muslimah dan gambar. Dan saya pasti, gadis-gadis yang menyertai pertandingan tersebut juga ramai yang telah sedia maklum tentang batas sempadan untuk gambar-gambar indah mereka dipertontonkan.
Sayangnya, keghairahan mempamer gambar masih tidak berkurang, malah ia kian menjadi-jadi. Perlumbaan demi perlumbaan diketengahkan. Tidak cukup dengan televisyen dan majalah, saluran internet menerusi laman-laman sosial menjadi sarana efektif yang melebarkan pesona muslimah.
Situasi Ini ditambah lagi dengan kemunculan kerjaya dan hobi yang dijalankan secara full-time atau part-time, yang banyak berasaskan kepada elemen kecantikan, dandanan dan paparan wajah seperti model busana muslimah, jurumekap dan jurugambar ( photographer).
Permintaan dari pasangan raja sehari untuk mengabadikan momen bersejarah dengan pelbagai aksi dan sisi juga tidak kurang hebatnya terutama ketika musim cuti sekolah di mana banyak majlis resepsi dan perkahwinan diadakan.
Tidak mengapa andai ia sekadar untuk simpanan peribadi dan tatapan kaum keluarga semata-mata, akan tetapi bila ianya dikongsi untuk tatapan umum di laman maya, maka sudah pasti ada keburukan tanpa sedar tercipta darinya.

HIKMAH YANG HILANG
Melihat perkembangan kurang sihat ini, saya sangat kecewa. Terlalu ramai di kalangan wanita Islam hari ini yang turut terkena tempias obses kepada kecantikan dan menyebarluas keindahan yang sewajarnya diperlihatkan hanya kepada yang halal.
Mereka menamakan tabarruj sebagai hijab dan menamakan maksiat sebagai ketaatan. Bukankah ini sangat tersasar? Kerana itu, saya membenar dan menegaskan komentar dari seorang lelaki di atas bahawa :
”Ini bukan hijab!”
Hakikatnya, semakin galak golongan muda belia ini mempertontonkan kecantikan, maka semakin sirnalah hikmah dan pesona kebaikan dari tujuan menutup aurat ( hijab ) yang sebenarnya sebagaimana yang diwar-warkan oleh syari’at yang mulia.
Antaranya :
1) Hijab itu adalah pesona kemuliaan ( ‘iffah ). Ia bertindak sebagai benteng yang kukuh untuk menjauhkan seorang gadis dari maksiat, gangguan lelaki jahat dan seterusnya meninggikan darjat kemuliaannya di tengah-tengah masyarakat.
Inilah yang menjarakkan darjat kemuliaan antara muslimat mukminat dan wanita-wanita jahililiah kerana wanita jahiliah, tatkala keluar dari rumah, mereka ingin tampil berbeza dan lebih dari wanita yang lain. Pujian dan sanjungan adalah matlamat utama terutama dari lelaki-lelaki yang tertarik dengan kejelitaan dan keindahan mereka.
Firman ALLAH SWT yang bermaksud :
“Hai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: “Hendaklah mereka menghulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak akan diganggu.” ( Surah Al-Ahzab ayat 59 )
Ingin juga saya kongsikan satu riwayat menginsafkan berkenaan muslimat mukminat di zaman Rasulullah SAW.
Dari Safiyah binti Syaibah, beliau berkata: “Ketika kami bersama Aisyah r.a, Aisyah berbicara : “Aku terkenang akan wanita-wanita Quraisy dan keutamaan mereka.” Lalu Aisyah melanjutkan : “Sesungguhnya wanita-wanita Quraisy memiliki keutamaan, dan demi ALLAH, aku tidak melihat wanita yang lebih percaya kepada kitab ALLAH dan lebih meyakini ayat-ayat-NYA melebihi wanita-wanita Ansar. Ketika turun kepada mereka ayat: “Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya.” ( Surah An-Nur ayat 31 ), maka para suami bersegera mendatangi isteri-isteri mereka dan membacakan apa yang diturunkan oleh ALLAH kepada para muslimah. Mereka membacakan ayat itu kepada isteri, anak gadis, saudara perempuan dan kaum kerabat. Dan tidak ada seorangpun di antara wanita itu kecuali mereka semuanya segera berdiri mengambil kain tirai dan menutupi kepala dan wajah mereka, lantaran percaya dan beriman kepada apa yang diturunkan ALLAH dalam kitab-NYA. Sehingga mereka (berjalan) di belakang Rasulullah SAW dengan kain penutup seakan-akan di atas kepala mereka terdapat burung gagak.”
2) Hijab itu adalah pesona kesucian hati. Peranan ini diiktiraf sendiri oleh ALLAH SWT kerana dengan ‘hijab’ yang benar, ia mampu melindungi pemakainya dari dilihat oleh lelaki secara tidak wajar seterusnya meleburkan keinginan-keinginan syahwat yang mungkin timbul dari pandangan mata tersebut. Dengan ini, mata yang ter’hijab’ dapat menjamin kesucian hati pemiliknya dan orang-orang yang berurusan bersama mereka. Inilah manfaat yang boleh difahami dari Firman ALLAH SWT yang bermaksud :
“Apabila kamu meminta suatu (keperluan) kepada mereka (isteri-isteri Nabi), maka mintalah dari belakang tabir. Cara yang demikian itu lebih suci bagi hatimu dan hati mereka.” ( Surah Al-Ahzab ayat 53 )
3) Hijab itu adalah pesona akhlak. Muslimah yang baik dan bertaqwa adalah muslimah yang mendahulukan malu dari mahu untuk mempamer foto-fotonya yang indah itu. Tindakan ini bukan sekadar dapat menjaga imannya dari diganggu, malahan ia telah menyelamatkan iman para jejaka dari dirobek gejolak nafsu, juga iman para muslimah lainnya dari cemburu melulu.
Selanjutnya, bila keimanan masing-masing terpelihara, maka ketinggian akhlak juga akan turut terus melata. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
“Malu dan iman itu bergandingan bersama, bila salah satunya diangkat maka yang lainpun akan terangkat.”

BEAUTY AND THE BEAST
Melihat kepada obsess muda mudi kini kepada kecantikan, saya teringat kepada satu rancangan dokumentari bertajuk : Beauty and the beast: ugly face of prejudice, yang baru saja ke udara baru-baru ini menerusi satu saluran televisyen di UK.
Siri ini mengenengahkan investigasi tentang perbezaan dua individu yang ditakrifkan oleh cara mereka menanggapi, melihat dan menilai sesuatu.

Episod pertama rancangan ini menampilkan Leo, seorang lelaki di awal usia 60 yang memiliki wajah, tangan dan kaki kiri yang cacat akibat kebakaran sewaktu berumur 14 tahun, manakala seorang lagi ialah Yasmin, seorang gadis di awal usia dua puluhan yang terlalu obses dengan kecantikan. Hampir 40 hari setahun, iaitu lebih dua jam sehari masanya diperuntukkan di hadapan cermin. Ribuan pound juga dibelanjakan sebulan hanya untuk membeli peralatan solekan.
Sebelum keluar, wajahnya yang sedia jelita dioles sesempurna mungkin agar dapat berhadapan masyarakat dengan wajah tidak polos tanpa warna.
Berbeza dengan Yasmin yang sangat teruja melakukan apa sahaja demi kecantikan agar dapat tampil mempesona seperti selebriti dan artis ternama, Leo sebaliknya sangat menentang pembedahan plastik untuk tujuan kosmetik. Menurut Leo, secara khususnya seorang wanita sanggup menekan dirinya sendiri untuk cuba meniru kesempurnaan fizikal yang banyak ditampilkan di media. Dan inilah yang sedang dialami oleh Yasmin, seorang ‘penagih’ kecantikan paras rupa.
Di akhir rancangan, dengan bantuan Dr. Laxmi Kathuria, seorang pakar psikiatri yang mengkhusus kepada citra tubuh, Leo dapat menjeroka alasan sebenar di sebalik keghairahan Yasmin.
Perbualan demi perbualan dari pengisian masa bersama Leo, menyedarkan Yasmin bahawa kecantikan bukanlah segalanya kerana ia tercerna dari persepsi yang diinginkan oleh masyarakat ramai. Sedangkan kecantikan asli yang ada sepatutnya sudah cukup untuk dihargai dan lebih membebaskan dirinya dari menyia-nyiakan masa, tenaga juga wang ringgit untuk memenuhi persepsi massa.
Leo yang telah berkeluarga dan ayah kepada tiga cahaya mata juga berjaya membuka mata Yasmin bahawa pasangan yang baik adalah yang boleh menerima dia seadanya kerana sikap positif dan nilai hidup yang baik lebih diperlukan untuk kelansungan perhubungan yang bahagia.

SECARA ZAHIR
Untuk apa gadis-gadis muda remaja itu melakukan hal tersebut hanya mereka yang dapat menjawabnya. Pada saya, untuk menelah atau meneka-neka niat dan tujuan yang tersembunyi di dalam hati seseorang bukanlah sesuatu yang dituntut untuk dilakukan oleh mana-mana muslim/muslimah yang berusaha mencapai taqwa, lantaran Rasulullah SAW sendiri menetapkan sesuatu hukum berdasarkan apa yang didengar dan dilihat oleh zahir mata sahaja sebagaimana penegasan baginda menerusi sabdanya yang bermaksud:
“Sesungguhnya aku hanya manusia, dan kamu sentiasa membawa kes pertikaian untuk di selesaikan olehku, dan mungkin sebahagian kami lebih cekap berhujjah dari sebahagian lainnya, maka aku telah memutuskan hukuman berdasarkan apa yang kudengari sahaja. Barangsiapa yang telah ku jatuhi hukuman dan hukuman itu mengambil hak yang lain (akibat kurang cekap pihak yang benar dalam berhujjah), maka jangalah kamu mengambilnya, sesungguhnya ia bakal menjadi sepotong api neraka.” (Riwayat Abu Daud, Tirmidzi dan lain-lain: Rujuk Naylul Awtar, 8/632, no 3920 )
Hadith di atas jelas menunjukkan bagaimana sikap seorang hakim ( dalam Islam ) melaksanakan hukum, iaitu berdasar kepada info dan bukti zahir yang diberikan.
Demikian juga dalam masalah penyebaran gambar-gambar muslimah menutup aurat tetapi masih bersolek cantik dalam gaya yang kurang manis. Insafilah, bahawa dengan penonjolan dirinya itu, setiap lelaki yang melihat dengan syahwat akan memperoleh dosa.
Sedang di pihak si gadis jelita, dia bukan setakat mendapat satu dosa bagi kesalahan itu, tetapi juga meraih setiap dosa semua lelaki yang memandangnya. Bayangkanlah berapa banyak dosa yang diperolehi hanya dengan mempamerkan diri setiap hari.
Baginda SAW bersabda yang bermaksud :
“Sesiapa yang mempelopori sesuatu yang buruk, maka ke atasnya dosa dan dosa setiap orang yang membuatnya tanpa sedikit kurang pun dosanya..” ( Riwayat Ahmad dan lain-lain : Sohih )

ANTARA MALU DAN MAHU
Sungguh pilu memikirkan betapa Rasulullah dan para sahabat dahulunya bermandi keringat dan darah demi mempertahankan maruah Islam termasuk adanya peperangan akibat cemburu atas seorang wanita dan untuk menjaga kehormatannya.
Kini, muslimah sendiri yang mengurangi nilai diri mereka dengan berlumba-lumba menyertai pertandingan kecantikan demi meraih gelaran, pengiktirafan dan ganjaran.
Islam datang membawa penawar, agar penyakit masyarakat dapat diubat, tetapi dengan gejala kurang sihat yang melanda ini, penawar akan hilang berganti tuba yang akan mematikan hati manusia.
Justeru, muslimahku, tanyalah hatimu. Antara malu dan mahu, yang manakah kalian perlu?
Kutinggalkan kalian dengan barisan kata-kataku yang lahir dari lubuk hati ini :
“ Menatap foto-foto indah mu, terbit persoalan dihatiku: Sudah semakin pudarkah kecemburuan seorang suami terhadap isteri, telah sirnakah kecemburuan ibu bapa terhadap anak dan telah hilangkah kepedulian sahabat dan teman? Beruntunglah andai suami menegur, bertuahlah andai ibubapa menasihati, bersyukurlah andai teman menegur silap diri, itu tanda masih ada cemburu pada mereka, kerana cemburu itu tanda mereka sangat menyintai dan menyayangi anda.”

Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.
Jumpa lagi, InsyaALLAH.