Alhamdulillah masih lagi diberi kesempatan untuk bernafas di bumi Allah yang penuh dengan barakah dan nikmat-Nya yang tidak terhingga ini. Lantas jari jemari terasa gatal untuk menaip beberapa bicara khas buat adik-adik SMASID Tingkatan 5 yang baru sahaja selesai menduduki peperiksaan SPM.
Adik-adik yang disayangi,
Gunakanlah kesempatan waktu yang ada ini dengan sebaik mungkin untuk diisi dengan perkara-perkara yang bermanfaat samada untuk kebaikan diri sendiri mahupun untuk orang lain. Cuti selama lebih kurang 7 bulan ini jika tidak digunakan dengan sebaik mungkin pasti tidak mendatangkan sebarang kebaikan malah kemudharatan pula yang menimpa. Jika terfikir untuk bekerja, carilah pekerjaan yang betul-betul menepati syariat Islam samada dari segi pekerjaan itu sendiri mahupun berpakaian, tidak kiralah apa-apa pekerjaan sekalipun.
Namun, jika di fikiran adik-adik sekarang tidak terlintas untuk bekerja, gunakanlah kesempatan waktu di rumah itu dengan menelaah bahan-bahan ilmiah. Sebagai contoh, banyakkan membaca buku-buku dan risalah yang mampu meningkatkan tahap pemikiran adik-adik untuk berfikir secara lebih kritis terhadap isu-isu yang dibincangkan zaman ini. Secara tak langsung, pembacaan tersebut sebenarnya membantu adik-adik membuat persediaan untuk melangkah ke alam seterusnya yang lebih mencabar iaitu zaman adik-adik akan berhadapan dengan realiti kehidupan yang sebenar. Jika tidak dipenuhi dengan bekalan yang betul-betul mantap, bimbang diri kita akan hanyut dan kecundang di tengah jalan. Jika dilihat dari aspek yang lain, seseorang manusia secara fitrahnya, memang sentiasa dahagakan ilmu yang mampu memberi manfaat kepada diri mereka. Justeru, penuhkan masa kalian dengan usaha mencari ilmu terutamanya ilmu yang sukar didapati di sekolah. Renungkan kepentingan ilmu itu sendiri. Ilmu ibarat cahaya yang menerangi malam kegelapan, ia takkan hadir dari lorong-lorong kemaksiatan. Tanpanya hidup penuh penderitaan.
"Belum lagi kedua kaki seorang hamba bergerak pada hari kiamat, ditanyalah tentang usianya, dihabiskan untuk apa; tentang ilmunya, digunakan untuk mengerjakan apa; tentang hartanya, diperoleh dari mana dan dibelanjakan untuk apa; tentang badannya, digerakkan untuk apa." (HR Tirmidzi).
Jika dilihat remaja sekarang ini sudah jauh terpesong dari landasan akidah yang sebenar, begitulah hidup tanpa pegangan agama yang kukuh umpaman ilmu tanpa amal.
“Ilmu tanpa amal ibarat pohon yang tidak berbuah”
Oleh itu, jangan jadikan diri kita perosak kepada agama itu sendiri kerana fitrah agama itu (Islam) adalah sejahtera dan suci.
Di samping itu, ringan-ringankan tulang untuk membantu ibu bapa di rumah agar mereka merasai keberadaan kita di sisi mereka.
Adik-adik yang dikasihi,
Alam remaja suatu alam yang penuh dengan cabaran dan rintangan yang perlu dihadapi oleh seseorang. Oleh itu, jangan sesekali mengisi rongga-rongga yang ada dengan perkara-perkara yang lagha. Jangan mudah terpengaruh dengan bisikan syaitan yang sentiasa berusaha mengheret kita ke lembah neraka jahanam.
‘’Ada dua kenikmatan yang membuat kebanyakan manusia tertipu yaitu nikmat sihat dan waktu lapang." (HR Bukhari).
Akhir qalam, kami saf pimpinan alumni sentiasa mendoakan kejayaan adik-adik di dunia mahupun di akhirat. Sama-samalah kita membantu mencurahkan sedikit tenaga bagi memakmurkan bumi SMASID dengan membudayakan biah solehah (suasana yang baik). Wallahua’lam
syukran!
ReplyDelete