Thursday, August 1, 2013


Assalamualaikum sahabat sahabat sekelian,semoga dalam rahmat Allah s.w.t (^_^)

 Alhamdulillah, Allah telah memberi kita peluang untuk berada di dalam bulan penuh barakah ini yakni bulan ramadhan, kasihnya Allah kepada kita, kita dapat menjalani ibadah puasa dengan baik berbanding negara yang ditimpa bencana, berlaku peperangan dan sebagainya.. ketahuilah itu salah satu nikmat yang Allah berikan kepada kita ... 

Masa telah berlalu dengan pantas, Ramadhan masih berbaki beberapa hari sahaja... 
Mari kita fikir sejenak .. 

          "Adakah Ramadhan yang kita jalani ini lebih baik dari yang lepas ???" 
 "Ibadah kita lebih cemerlang dari yang lepas ???"   
 Tepuk dada tanya Iman..

kita telah berada di 10 hari terakhir Ramadhan, Fasa yang dikatakan pembebasan api neraka oleh sesetengah ulama', fasa ini juga dikatakan terdapat satu malam yang lebih baik dari seribu malam.. ya, betul , Malam Lailatul Qadr seperti firman Allah s.w.t di dalam surah Al Qadr



إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ * وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ * لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ * تَنَزَّلُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِمْ مِنْ كُلِّ أَمْرٍ * سَلَامٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ *

“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al Qur’an) pada malam kemuliaan (Lailatul Qadr). Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan (Lailatul Qadr) itu? Malam kemuliaan itu (Lailatul Qadr) lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Rabbnya untuk mengatur segala urusan. Malam itu penuh kesejahteraan sampai terbit fajar”.
 (Al-Qadr: 1-5)

Apa yang ingin dikongsikan ialah beberapa amalan yang dilakukan oleh Nabi Muhammad dan para sahabat. 

1. Mandi, berpakaian Indah dan memakai harum haruman 

 Diriwayatkan oleh Ibnu Abi `Asim bahawa Huzaifah pernah mengerjakan qiyam Ramadan bersama Rasulullah dan melihat bahawa Baginda mandi pada malam itu. Ibnu Jarir pula berkata bahawa sahabat menyukai mandi pada malam-malam akhir Ramadan. 

Demikian pula beberapa riwayat daripada sahabat seperti Anas bin Malik dan ulama pada masa Tabi'in menyatakan bahawa mereka akan mandi, memakai baju indah dan berharum-haruman apabila berada pada akhir Ramadan.


2. Melaksanakan Solat Sunat, Iktikaf dan membaca Al-quran 

 Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan satu hadis daripada Aishah, bermaksud: “Adalah Rasulullah apabila telah masuk 10 akhir daripada Ramadan, maka Baginda akan menghidupkan malam-malamnya, membangunkan keluarganya dan mengikat pinggangnya.” 

Ibadat yang biasa dilakukan pada malam Ramadan adalah solat Tarawih dan Witir serta membaca al-Quran. Dalam salah satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dari Amru bin `Ash bermaksud: “Barang siapa yang solat pada malam Ramadan dan membaca 10 ayat daripada al-Quran maka dia tidaklah dicatat sebagai orang yang lalai.”

Mengerjakan solat dan membaca al-Quran pada malam yang akhir ini sangat penting hingga dalam salah satu riwayat dikatakan bahawa Rasulullah melakukan solat pada malam Ramadan dan membaca al-Quran dengan tertib.
 




3. Memperbanyakkan doa 

 Dalam satu hadis daripada Aishah diriwayatkan at-Tirmizi, Aishah diajar oleh Rasulullah membaca doa pada malam al-Qadar. 

Ulama bersepakat bahawa doa yang paling utama pada malam al-Qadar adalah doa yang meminta keampunan dan kemaafan daripada Allah. Perkara ini seperti doa yang diajarkan Rasulullah kepada Aishah. Doanya berbunyi: “Allahumma innaka afuwun tuhibbul afwa fa' fu anni (maksudnya, Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Maha Pengampun, yang suka Maha Mengampun, maka ampunilah aku ini).” 

  
Selain dari perkongsian yang disebut, Banyak lagi panduan dan rujukan untuk kita mempertingkatkan amal ibadat, berbalik kepada diri kita sendiri samada ingin melakukannya atau tidak.. 


 
p/s : Ayuh, tingkatkan amal ibadah seolah-olah Ramadhan ini adalah Ramadhan terakhir buat kita .. semoga Allah menerima segala amalan kita . Amin  
  




 Perkongsian dari Exco Tarbiyyah Alumni SMASID 12/13

No comments:

Post a Comment