Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca
Begitulah tadi bait-bait puisi yang diungkapkan oleh Datuk usman Awang bekas Sasterawan Negara pada tahun 1979 yang bertajuk Guru Oh Guru. Ternyata puisi tersebut mengiktiraf guru sebagai insan murni yang bertungkus-lumus mencurahkan bakti demi mendidik anak bangsa menjadi insan yang seimbang dari segi jasmani, rohani, emosi, intelektual dan sosial (JERIS). Dalam proses manuntut ilmu pengetahuan, guru dikatakan pelengkap untuk memacu pembangunan minda dan intelektual seseorang. Dalam konteks negara pula, guru dapat diinterpretasikan sebagai permata yang amat berharga bagi memastikan negara berada pada landasan yang tepat agar dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain yang maju. Justeru, sememangnya jasa dan pengorbanan yang dicurahkan oleh guru perlu dihargai, hatta dengan lemparan senyuman kejujuran tanda terima kasih daripada pelajarnya.
Pelajar ialah individu yang sepatutnya menghargai jasa dan pengorbanan guru. Hal ini kerana pelajar merupakan individu yang paling hampir dan amat mendambakan ilmu daripada guru untuk bekalan menempuhi pelbagai ranjau dan liku kehidupan masa hadapan. Sebagai pelajar, mereka perlu berkelakuan baik terhadap guru walaupun di mana-mana mereka berada. Pelajar harus senantiasa menghormati guru, bersopan-santun dan berbudi pekerti mulia apabila berhadapan dengan guru mereka. Sebagai contoh, perbuatan memberi salam dan mengucapkan salam sejahtera serta menggunakan nada yang lembut semasa berkomunikasi adalah amat dituntut daripada pelajar. Uslub ini bukan sahaja dapat menghargai jasa dan epngorbanan guru, bahkan juga dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara guru dengan pelajar, bak kata pepatah orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa. Semasa di dalam kelas, pelajar yang menghormati guru tidak sesekali membuat bising sehingga mengganggu guru menjalankan tugasnya. Tegasnya, berbudi bahasa serta beradab sopan merupakan amalan terpuji bagi menghargai guru yang mengajar serta mendidik kita.
Selain itu, pelajar perlu belajar bersungguh-sungguh untuk menghargai jasa dan pengorbanan guru. Belajar bersungguh-sungguh bukan sahaja penting untuk kecemerlangan diri tetapi dalam masa yang sama mampu mengharumkan nama sekolah. Kecemerlangan yang diperolelh secara langsung dapat menyejukkan hati guru yang mengajar para pelajarnya. Sebagai contoh, pelajar perlu bertungkus-lumus dan berhati waja untuk mencapai keputusan yang cemerlang dalam semua peperiksaan yang diduduki seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolah Malaysia(STPM).Kejayaan yang tercipta diumpamakan sebagai hadiah berharga serta memastikan jerih payah guru tidak sia-sia dan berlalu begitu sahaja ibarat mencurahkan air ke daun keladi ataupun mencurahkan garam ke laut. Dalam hal ini, pelajar seharusnya sedar bahawa guru tidak pernah meminta apa-apa balasan daripada kejayaan yang tercipta tetapi cukup sekadar ucapan terima kasih yang kadang kala amat sukar dilafazkan.
Di samping mencipta kecemerlangan dalam bidang akademik, para pelajar seharusnya tidak melanggar disiplin serta melibatkan diri dengan kegiatan negatif yang boleh merosakkan nama baik guru dan sekolah. Fenomena ini perlulah diberikan perhatian oleh para pelajar kerana pelbagai perkara negatif yang dilakukan oleh pelajar sama ada di sekolah atau di luar kawasan sekolah seolah-olah menggambarkan kegagalan guru mendidik para pelajarnya. Antara ciri pelajar berdisiplin ialah mereka sentiasa datang awal ke sekolah, sentiasa menepati masa, tidak terlibat dalam gangsterisme, vandalisme mahupun ponteng sekolah. Walaupun sesetengah kes dianggap terpencil, tetapi tetap digunakan utnuk menghukum semua guru di seluruh negara seperti kata peribahasa kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Oleh itu, untuk mengelakkan pandangan sinis masyarakat terhadap tugas dan peranan yang dimainkan guru, para pelajar perlulah sentiasa mengamalkan perbuatan yang positif serta menjauhkan diri daripad terlibat dengan gejala negatif selepas tamat masa persekolahan. jelaslah, pelajar yang mematuhi disiplin umpama memberikan penghormatan kepada guru yang telah banyak berjasa.
Seterusnya, pelajar perlu prihatin dan menunjukkan kasih sayang terhadap guru. Amalan mengingati dan menghargai jasa guru adalah amalan mulia. para guru akan merasakan bahawa jasa mereka dihargai walaupun mereka tidak lagi berkhidmat sebagai pendidik. Kita boleh menghargai jasa guru dengan meraikan sambutan Hari Guru pada tanggal 16 Mei setiap tahun. Dalam hal ini sambutan Hari Guru perlulah diraikan sebaik mungkin dan tidak sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja. Semas sambutan Hari Guru, para pelajar boleh mengambil kesempatan untuk memberikan sedikit hadiah atau cenderamata kepada guru-guru yang mengajar mereka sebagai menyatakan terima kasih kepada insan yang diibaratkan lebah yang menghimpunkan madu kepada mereka. Hadiah yang diberikan tidak semestinya berpaksi kepada wang ringgit semata-mata tetapi mestilah disertai dengan hati yang tulus lagi ikhlas. Jika tidak mampu memberi hadiah, ucapan selamat hari guru sudah cukup bermakna buat para guru. Sesungguhnya guru tidak pernah menagih apa-apa jua balasan daripada anak didiknya walaupun telah banyak ilmu ditumpahkan kepada mereka.
Menziarahi guru ketika mereka mengalami kesusahan atau sakit juga cara kita menghargai jasa dan pengorbanan para guru. Sebagai manusia tentunya para guru menghadapi pelbagai masalah dalam kehidupan. Tamsilnya guru mungkin ditimpa kemalangan, bencana, menghidapi penyakit dan sebagainya. Sebagai murid, kita perlu menziarahi mereka jika mereka menghadapi situasi tersebut sebagai tanda melahirkan rasa simpati ibarat cubit peha kanan peha kira terasa sakitnya. Ketika menziarahi mereka sakit, kita perlulah membawa buah tangansebagai tanda kita bersimpati terhadap mereka. Jika mereka mengalami kemalangan atau bencana alam, kita perlu mengutip derma bagi meringankan beban yang mereka tanggung. Jelaslah bahawa frasa 'guru, jasamu dikenang, budimu disanjung' bukanlah sekadar omongan kosong kerana pengorbanan guru sentiasa dikenang oleh para pelajar. Dengan berbuat demikian kita dapat mengurangkan beban dan masalah yang dihadapi guru. Mudah-mudahan Tuhan akan memberikan ganjaran atas kebaikan yang kita berikan.
Selain itu, kita juga boleh menghargai jasa guru dengan mendoakan kesejahteraan guru yang telah mengajar dan mendidik kita. Mendoakan kesejahteraan guru sama ada semasa hayatnya atau sesudah mereka kembali ke rahmatullah membuktikan kita sentiasa mengenang jasa mereka. Kita perlulah mendoakan mereka agar sentiasa sihat sejahtera dan dielakkan daripada segala bahaya. Hal ini kerana jika guru sihat sudah tentu mereka akan dapat menjalankan tugas mendidik kita dan generasi seterusnya dengan sempurna. Bagi mereka yang telah meninggal dunia, kita perlulah mendoakan agar dosa-dosa mereka diampunkan agar mereka sejahtera di alam barzakh. Sesungguhnya harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama dan sudah tentu jasa serta pengorbanan guru akan terus dikenang sepanjang masa. Dalam hal ini, tidak rugi sekiranya kita berdoa untuk kebahagiaan dan kesejahteraan orang lain apatah lagi guru yang telah banyak berjasa kepada kita. Sesungguhnya guru, 'jasamu seharum limau kasturi yang terus mewangi mengiringi kejayaan seseorang anak didikmu'.
Konklusinya, guru merupakan insan mulia yang sepatutnya dihargai oleh setiap insan. Sudah terang lagi bersuluh,jasa dan pengorbanan seseorang guru sukar untuk dibalas walau dengan menghadiahkan mereka segunung intan. Tanpa guru siapalah kita kerana gurulah yang mengajar kita mengenali erti kehidupan. Tanpa jasa dan pengorbanan guru yang berkaliber dan tidak eprnah mengaku kalah dalam perjuangan mereka, nescaya sukar untuk pemimpin atasan melaksanakan visi dan misinya mencapai wawasan negara maju pada tahun 2020. Justeru, marilah kita bersama-sama menghargai jasa guru agar ilmu yang kita peroleh daripadanya mendapat keberkatan daripada tuhan. Untuk itu marilah kita renung bait-bait puisi di bawah.
Guru,
kau ibarat dian yang membakar diri
melahirkan insan yang lestari
tanpa mengira waktu dan hari
segala ilmu dicurah dan diberi
kerana kau sedar tanggungjawab yang diberi
tanpamu negara tak mungkin teguh berdiri.
cebisan perkongsian dari,
..:: EXCO TARBIYAH ALUMNAI SMASID 12/13 ::..
No comments:
Post a Comment