UCAPAN PENGGULUNGAN TENURE ALUMNI SMASID 2010/2011
Segala puji-pujian bagi Allah, Tuhan semesta alam yang telah menciptakan manusia sebaik-baik kejadian. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, semulia-mulia kejadian di dunia, sebaik-baik contoh ikutan serta Nabi akhir zaman yang telah mewasiatkan kepada kita sebuah perjuangan iaitu menegakkan agama Allah didunia yang akan menyelamatkan manusia di hari akhirat.
Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kepada Illahi, setelah satu tenure bermula 3 Jun 2010, genaplah setahun 3 bulan, Alumni SMASID di daftarkan di bawah sekolah dan mempunyai organisasi lengkap setelah mengalami tahun-tahun ‘hibernasi’ selama 7 tahun bermula tahun 2003. Sebelumnya, kita telah menyaksikan pergerakan alumni yang telah tersusun kukuh yang dipimpin oleh barisan exco daripada batch yang rata-ratanya adalah lepasan tingkatan 6 SMASID. Namun, setelah SMASID tidak lagi membuat pengambilan tingkatan 6, mereka-mereka yang bersemangat untuk meneruskan legasi tersebut telah berkurangan, lalu terjadilah tahun-tahun kemurungan yang mana alumni SMASID dilihat wujud hanya pada kem untuk adik-adik sekolah dan pada majlis jamuan hari raya.
Menyedari hakikat itu, lahirlah beberapa usaha untuk menghidupkannya kembali agar alumni SMASID terus unggul menjadi medan pengumpulan bekas pelajar SMASID dan sebagai badan kedua sekolah selepas PIBG yang menjadi ‘back up’ terhadap usaha-usaha yang membawa SMASID kearah yang lebih terkehadapan.
Setelah perlembagaan alumni SMASID dibuat dan disahkan oleh cikgu Hajah Norbiatun Abu Bakar (Pemangku Pengetua) pada tahun 2009, Alumni SMASID telah merangka sebuah organisasi bagi memegang posisi selama setahun bermula tahun 2010. Organisasi ini dibuat setelah organisasi yang lama membubarkan line up mereka dalam Majlis Jamuan Hari Raya pada 13 September 2009. Lalu dicadangkan nama-nama mereka yang dilihat mempunyai potensi serta memberikan komitmen dalam program-program anjuran alumni seperti kem untuk adik-adik dan majlis hari raya. Kemudian, dibawakan nama-nama tersebut kepada wakil batch yang lepas untuk disahkan. Setelah disahkan nama-nama ini, ia diumumkan oleh Cikgu Hajah Nobiatun, selaku Penasihat Alumni SMASID sewaktu majlis penutup Kem Generasi Idaman pada 3 Jun 2010 (Proses-proses ini telah digazetkan dalam Perlembagaan Alumni). Akhirnya terbentuklah secara rasminya organisasi alumni batch 2010/2011.
Seawal tenure, kami mengakui mempunyai pelbagai rintangan untuk bergerak memandangkan pengalaman yang amat terhad dalam mengendalikan sebuah persatuan yang asas penubuhannya adalah untuk bekas-bekas pelajar. Namun, berkat kesungguhan exco-exco alumni, tunjuk ajar daripada abang-abang dan kakak-kakak batch lepas terutamanya abang Hadi dan abang Wahee selaku Penasihat utama alumni, bantuan yang telah diberikan oleh pihak sekolah serta sokongan daripada sahabat-sahabiah alumni yang lain telah memberikan Persatuan Alumni SMASID nafas baru sebagai sebuah platform untuk bekasan-bekasan pelajar SMASID menyumbangkan bakti.
Melalui 6 exco dalam persatuan alumni, kita telah mampu menghidupkan semula alumni kita kearah yang lebih bersistematik dari sudut pengurusan.
Exco Perhubungan selama satu tenure telah mampu mengumpulkan data lebih daripada 300 orang bekas pelajar SMASID. Data-data tersebut didapati daripada buku data sekolah, program-program alumni seperti majlis jamuan hari raya, majalah SEMAI, dan data yang telah sedia ada daripada batch lepas. Data-data ini penting bagi kita menghubungi mereka bagi memaklumkan sebarang program yang memerlukan tenaga serta penyertaan ramai.
Exco Kebajikan pula menumpukan kepada kebajikan ahli-ahli alumni. Sebarang berita mengenai bencana atau kematian seseorang ahli atau keluarga terdekat akan dimaklumkan menerusi SMS dan dimaklumkan melalui facebook oleh Exco Multimedia. Disamping itu, dengan kerjasama Exco Perhubungan, kita telah memberikan ucapan hari jadi. Setakat ini, tiada program khusus anjuran exco ini yang mengumpulkan semua. InsyaAllah, pada tenure hadapan, kita akan cuba menganjurkan beberapa aktiviti bersama seperti iftar alumni dan sebagainya.
Exco Multimedia adalah suara atau medium penerangan alumni. Selama satu tenure, kita telah mewujudkan satu blog rasmi alumni SMASID. Alamatnya adalah: www.alumnismasid.blogspot.com serta facebook rasmi alumni: Alumnai SMASID. Kedua-dua medium ini telah mampu menjadi tempat rujuk hampir 1500 orang bekas pelajar SMASID kepada aktiviti-aktiviti serta makluman daripada kita termasuk tazkirah dan berita-berita terkini mengenai sebarang musibah atau kematian. kita masih mengalu-alukan sebarang komentar daripada semua sahabat-sahabiah untuk bersama-sama mengimarahkan kedua-dua medium ini dengan sebarang post, pemberitahuan, promosi dan lain-lain. Diharapkan agar ukhwah kita terus menerus walau berada jauh di mata.
Exco Tarbiah adalah exco yang bersifat kerja belakang tabir, dimana mereka menjadi badan menghidupkan budaya islamiah kepada sesama ahli alumni dan sekolah. Mereka akan mengumpulkan dan membuat artikel-artikel, posts facebook, dan membantu adik-adik di sekolah menerbitkan beberapa risalah untuk diedarkan di sekolah. Setakat ini, mereka telah Berjaya menerbitkan lebih daripada 15 buah artikel yang dipostkan didalam blog, berpuluh-puluh posts didalam facebook dan 2 buah artikel untuk adik-adik yang telah diedarkan di sekolah atas nama persatuan dan kelab mereka masing-masing. Dalam masa yang sama, mereka telah mampu mengumpulkan lebih daripada 100 buah modul dan silibus untuk kem, usrah dan program yang akan menjadi rujukan kita dalam program-program bersama adik-adik sekolah. Pada kem yang akan datang, exco tarbiah adalah penasihat utama kepada sebarang pergerakan kita agar ia terus selari dengan kehendak syariat.
Exco Modal Insan adalah exco yang tugas mereka hanyalah untuk adik-adik di sekolah. Mereka akan menganjurkan aktiviti bersama adik-adik dan membantu mereka dari segenap aspek termasuk kepimpinan, tarbiah, pengurusan organisasi dan akademik. Setakat ini, 5 kali kelas tusyen telah berjaya dijalankan sepanjang bulan 6 hingga bulan 7 kepada sekelompok kumpulan adik-adik tingkatan 5. Beberapa aktiviti seperti rehlah ke pantai , usrah dan kem telah dijalankan kepada adik-adik yang kita pilih berdasarkan kepada komitmen mereka dalam program-program kita. Kita masih mengalu-alukan bantuan daripada semua ahli alumni terutamanya ustaz-ustaz untuk menghulurkan sebarang bentuk sokongan dan bantuan kepada adik-adik di sekolah memandangkan bilangan kumpulan sasaran kita masih terhad kepada beberapa kelompok pelajar sahaja kerana kekurangan tenaga dan komitmen. Semoga misi ‘setiap murid,satu usrah’ tercapai.
Exco Ekonomi dianggap team penjana kewangan alumni. Bermula daripada kosong, kita telah berjaya mengumpulkan sebanyak RM 375 daripada jumlah keuntungan jualan baju alumni. Langkah ini dianggap sebagai satu langkah yang boleh dipuji kerana kita mampu membuka jualan baju buat kali kedua pada jamuan hari raya pada hari ini. Difahamkan, terdapat ramai lagi yang masih membuat tempahan secara SMS dan facebook. Kita optimis dengan memberikan kepercayaan kepada mereka membuat tempahan dahulu tanpa bayaran deposit sebagai modal kerana meletakkan kepercayaan kepada para penempah. Alhamdulillah, setakat ini, hanya 4 orang sahaja lagi yang masih belum menuntut baju mereka dan mereka semua akan mengambilnya dalam jamuan ini. Pada tenure akan datang, kita akan memperbanyakkan sumber pendapatan kita termasuk membuat kerjasama niaga dengan alumni-alumni yang lain. Sebarang persoalan, boleh terus hubungi mereka.
Di bahagian line up utama alumni, kita sedang mencari satu sistem pengurusan yang berkesan baik dari sudut pengumpulan data, catatan minit mesyuarat, pengurusan kewangan dan sebagainya. Setakat ini, kita sedang menumpukan untuk mewujudkan sebuah akaun persatuan yang memerlukan RM3000 sebagai pendahuluan. InsyaAllah pada tenure hadapan, kita akan usahakan agar ianya menjadi realiti. Dari sudut pengurusan data, setakat ini, semua mesyuarat dan aktiviti kita akan dicatatkan dalam bentuk minit mesyuarat serta laporan akhir program. Data-data ini disimpan baik oleh Setiausaha sebagai rujukan akan datang. Kita juga telah mempunyai nombor rasmi alumni: 011-19822687. Nombor ini akan digunakan untuk sebarang sebaran makluman umum alumni. Objektifnya agar tema “Alumni dekat dihati” kesampaian.
Alumni batch 2010/2011 telah meletakkan dua program wajib sebagai program tradisi yang harus dijalankan saban tahun iaitu Kem untuk pelajar sekolah dan Majlis Jamuan Hari Raya untuk sesama alumni SMASID.
Alhamdulillah pada 23-25 Jun 2011, melalui Unit Bimbingan dan Kaunseling sekolah, kita telah berjaya menganjurkan Kem Khalifah Muda. Terima kasih buat cikgu Nordin Ithnin selaku cikgu Kaunseling yang juga ahli alumni kita yang telaj banyak membantu kami menjayaan program ini. Kem ini telah disertai oleh semua pelajar tingkatan 4 dan seramai 51 orang urusetia program daripada alumni SMASID telah mengambil bahagian. Tujuan utama penganjuran kem tersebut adalah bagi memberi kesedaran mengenai kepentingan berakhlak dengan akhlak islamiah disamping mengenalpasti dan menggilap bakat kepimpinan dalam kalangan para pelajar tingkatan empat iaitu bakal pewaris kepimpinan sekolah pada tahun depan. Secara keseluruhannya, kita telah berjaya mencapai matlamat kem tersebut, Cuma berlaku kekurangan dari sudut pengisian dan modul program memandangkan generasi muda kini rata-ratanya sukakan pengisian berbentuk hiburan dan kemodenan. Pada akhir program, kita telah berjaya mengenal pasti 57 orang pelajar yang ada potensi serta mempunyai bakat kepimpinan. Mereka semuanya telah dikumpulkan dan diberikan motivasi susulan oleh Exco Modal Insan Alumni bagi terus mencungkil bakat mereka sehingga mampu memimpin sekolah pada tahun hadapan.
Keduanya adalah Majlis Ramah Mesra Alumni SMASID. Secara keseluruhannya, majlis ini telah berjaya mengumpulkan lepasan-lepasan pelajar SMASID daripada pelbagai batch SPM. Daripada penganjuran secara tidak formal pada tahun 2009, jumlah kehadiran tetamu yang hadir telah meningkat daripada 150 orang kepada 250 orang pada tahun 2010. Diharapkan agar jumlah ini akan terus meningkat daripada tahun ke tahun sehingga kita mampu mengumpulkan semua lepasan SMASID sejak seawal penubuhannya sehinggalah sekarang. Program ini wajar diteruskan agar ukhwah sesama kita terus mantap dan kita mampu menjadi pembantu kepada pembangunan SMASID baik dari sudut infrastuktur,modal insan dan sebagainya. Pembinaan Surau Sekolah yang telah dimulakan secara serius oleh Pengetua SMASID sekarang,ustaz Awang Dahan, telah membuka lebaran baru kepada kita untuk membuktikan bahawa kita akan turut serta menjadi penggiat kepada pembinaan surau sekolah. Justeru, saya menyeru semua alumni SMASID menghulurkan sebarang sumbangan kepada pihak sekolah baik dari sudut kewangan, tenaga, masa dan sebagainya bagi merealisasikan hasrat penubuhan surau ini.
Disamping dua program besar tersebut, kita telah melangkah selangkah lagi kehadapan apabila telah diberikan kepercayaan oleh pihak sekolah untuk menjadi urusetia dan fasilitator dalam beberapa buah program,kem dan majlis anjuran sekolah. Program seperti Kem Solat, Program Pecutan PMR dan majlis Pecah Tanah Surau SMASID adalah antara program yang telah disertai oleh beberapa orang alumni. Modus operandinya adalah, Exco Perhubungan dan Exco Multimedia(Penerangan) akan memaklumkan kepada semua alumni SMASID ke dalam facebook atau blog atau melalui SMS. Kemudian, sesiapa yang berminat, akan menghubungi orang yang ditugaskan(PIC) program tersebut dan mereka akan dipanggil melalui SMS untuk kepada program tersebut. Baru-baru ini, 2 orang guru ganti daripada alumni telah berjaya dicari melalui facebook dan SMS.
Secara keseluruhannya, dapat saya simpulkan, sepanjang setahun 3 bulan Persatuan Alumni SMASID ditubuhkan dibawah sekolah, kita telah berjaya mewajahkan persatuan kita diperingkat sekolah. Alhamdulillah, pihak sekolah telah melihat kita adalah sebuah persatuan yang mampu menyediakan pelbagai sumber baik dari sudut tenaga, idea, dan masa. Disamping itu, kita akan terus meneruskan usaha bagi mengumpulkan segenap tenaga dan kekuatan yang telah kita ada bagi terus menyumbangkan bakti kepada pihak sekolah. Kita akan cuba mengumpulkan ustaz-ustaz dan tenaga-tenaga pengajar bekas pelajar SMASID seperti ustaz Safwan,ustaz Nazri, Syeikh Hanafi, Ahmad Tarmizi Hj Ali dan ramai lagi sebagai usaha memantapkan adik-adik di sekolah.
Semoga usaha ini membuahkan hasil sehingga Alumni SMASID bukan sahaja gah bersama aktiviti sesama mereka, tetapi, mereka mampu turun menebarkan bakti kepada sekolah tempat mereka ditarbiahkan sehingga mampu menjana ratusan bahkan ribuan adik-adik yang hebat dari sudut duniawi dan ukhrawi mereka.
Akhir kalam daripada saya dan barisan exco Alumni SMASID , memohon maaf andai selama satu tenure kami memimpin alumni, terdapat amanah yang belum tertunai. Tujuan kami hanyalah bagi membawa persatuan kita kearah yang memberi, bukan diberi. Salam Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin.
“Hidup Biar Berjasa”
Yang benar,
Hafizul Faris
(Presiden Alumni SMASID 2010/2011)
No comments:
Post a Comment