Saturday, October 15, 2011

Selamat Bermujahadah...^_^






Bila di tanya kenapa MUJAHADAH itu PAHIT? Lalu di jawab kerana SYURGA itu MANIS.^_^

Sebut sahaja perkataan mujahadah tentu sekali,kita tak dapat lari dari maksud sebenarnya iaitu melawan hawa nafsu dari setiap perkara yang melalaikan dan tak dapat tidak ia berkait dengan hati manusia itu sendiri.

 Firman Allah Ta'ala :

..Sesungguhnya nafsu itu sangat mengarahkan kepada kejahatan melainkan mereka yang dirahmati Tuhanku (Surah Yusuf ayat 53)

Melawan hawa nafsu bagi maksud mengawal, mengurus dan mengendalikannya adalah wajib kerana kita hanya wajar menjadi hamba Allah. Demikian yang dapat difahami daripada kaedah, “tidak sempurna sesuatu yang wajib melainkan dengan sesuatu itu maka sesuatu itu juga menjadi wajib.”  Berdasarkan itu, jika kita tidak berbuat demikian, sudah tentu kita akan berdosa. Bukankah syurga itu hanya ada pada mereka yang menundukkan kehendak nafsunya kepada kehendak Allah? Firman Allah: “Dan adapun orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri daripada nafsunya, maka sungguh syurgalah tempat tinggalnya” (Surah al-Naziat: 40-41)

Bagi orang yang ingin bersungguh sungguh dalam ibadah dan membawa
dirinya untuk bermujahadah, haruslah memerhatikan dua perkara 
penting dalam amalnya.

1)      hendaklah amal amal sunnah tidak membuatkan dia lupa 
kewajipan kewajipan yang lain.Contohnya, dia mengerjakan suatu amal 
sunnah (sunat) tertentu sementara dia mengabaikan hak keluarga 
berupa nafkah atau mengabaikan hak dirinya.

2)      Tidak memaksa diri dengan amalan amalan sunat yang diluar 
kemampuannya.Sebagai mana sabda nabi s.a.w dalam sebuah hadith sahih 
riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim maksudnya :

"Hendaklah kalian beramal sesuai dengan kemampuan kalian.Demi Allah, 
Allah tidak akan jemu sehinggalah kalian merasa jemu".


Syekh Imam Al-Ghozali Berkata : ‘‘Mujahadah adalah kunci hidayah tidak ada kunci untuk memperoleh hidayah selain Mujahadah''






Wednesday, October 12, 2011

~Serangan Jantung Pembunuh Senyap~

Bismillahirahmanirahim...

Assalamualaikum wbt buat shbt2 yg di kasihi kerana ALLAH...

     Sedikit perkongsian  tentang serangan jantung buat tatapan yang dahagakan ilmu..) 

Penghidap darah tinggi dan diabetes atau kencing manis berisiko tinggi diserang penyakit kardiovaskular yang juga lebih dikenali sebagai serangan jantung.

Pakar Jantung Kedah Medical Centre (KMC) Dr Abdul Rahim Tahir berkata ia merupakan 'pembunuh dalam senyap' yang menyerang pesakit diabetes dan darah tinggi selain punca utama lain penyakit jantung iaitu merokok.

"Selain perokok, kira-kira 30 peratus pesakit diabetes dan darah tinggi mengalami serangan jantung dan ia sangat merbahaya kerana dianggap sebagai pembunuh senyap.

"Kencing manis dan darah tinggi adalah antara punca utama penyempitan saluran darah yang boleh menyebabkan penyakit kardiovaskular atau jantung," katanya ketika menyampaikan ceramah mengenai penyakit kardiovaskular di KMC di sini.

Beliau berkata antara gejala serangan sakit jantung ialah sakit dada, sukar bernafas, berdebar-debar serta bengkak kaki. Dr Abdul Rahim berkata ujian saringan sangat penting bagi mengenalpasti penyakit kardiovaskular kerana ia kadangkala tidak menunjukkan sebarang simptom atau gejala.

"Tiada simptom tidak bermakna tiada penyakit, jadi dinasihatkan penghidap diabetes dan darah tinggi menjalankan screening (saringan).

"Walaupun ia memerlukan kos tapi lebih baik mencegah daripada merawat, kerana seperti mana yang kita semua tahu rawatan penyakit kardiovaskular sangat mahal dan apabila dikesan mengidapinya, pesakit perlu menjalani rawatan segera," katanya.

Beliau berkata antara jenis saringan yang disyorkan ialah electrocardiogram (ECG) dan imbasan (scan) jantung bagi mengesan keadaan dinding organ berkenaan sama ada ia bocor atau tipis.

Dr Abdul Rahim berkata perokok perlu menghentikan segera tabiat itu kerana nikotin dalam rokok boleh menyebabkan bekalan oksigen ke jantung kurang, tekanan dan kepekatan darah naik serta merosakkan sel yang melindungi saluran darah.

"Ia bukan saja memberi kesan kepada perokok malah orang di sekelilingnya juga. Kajian membuktikan 24 jam selepas tidak merokok, karbon monoksida terhapus dalam badan dan paru-paru mula menyingkirkan sisa-sisa rokok yang lain," katanya.

Beliau berkata menurut perangkaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2002, 4 juta perokok mati akibat sakit jantung atau seorang daripada 10 lelaki dewasa setiap tahun dan pada 2030, WHO meramalkan jumlah berkenaan akan meningkat kepada seorang bagi setiap enam orang lelaki.

 Moga artikel ini memberi manfaat buat semua...)

Sunday, October 2, 2011

~2 PRODUK PENJUALAN ALUMNI 11/12~


 salam ukhwwah fillah bt shbt2 ALUMNI..)

      Sedikit info dari EXCO EKONOMI:

Untuk pengetahuan semua,kami telah medapat sambutan yg amt menggalakkan dari shbt2 dalam penjualan bju ALUMNI fasa pertama...Penjualan kali pertama melebihi dari target kami..Jadi atas permintaan yang ramai,kmi membuka sekali lagi jualan  untuk pembelian /tempahan baju ALUMNI  bermula dari skrg:
                                                                                                                    
Mesti tertny2 kn???
cm ne design baju....
JOM same2 tgk dlu!!!!!

    ( design depan  dan belakang untuk lelaki)
(dsign untuk perempuan...x berkolar)

Menarik kn??? 
so apa tunggu lagi..

jom kite pakat2 beli... 
muroh jer..
untuk lelaki RM28 
dan
perempuan RM30
*pihak kmi jgk menyediakan perkhidmatan penghantaran baju pos laju dengan harga:
*Dalam Negeri Terengganu: RM6
*Luar  Negeri Terengganu: RM12
sebarang tempahan baju blh lah menghantar mesej beserta dengan NAMA PENUH,ALAMAT RUMAH,NO H/P DAN SAIZ BAJU kepada:

solehin:014 5114862
wahaidah:0196337163


UBAT MINDA




selain itu,kmi jgk menjual ubat minda untuk yg di knali IQ GEN...
*Ia digunakan untuk meningkatkan kecerdasan minda secara keseluruhannya.
*ia sesuai dengan pelbagai peringkat umur
*mengandungi 500 biji dengan harge RM 25 shj..
Jom pakat2 beli!!!
ALUMNI untuk semua!!!

untuk maklumat lanjut,boleh rujuk kepada:
solehin:014 5114862
wahaidah:0196337163

TEMPAHAN DI BUKA SEKARANG!!!!



Wednesday, September 28, 2011

Sebuah Perkongsian -Antara Tanggungjawab dan Amanah Mahasiswa

"Tangungjawab yang ada lebih banyak dari masa yang ada" Ungkapan yang diucapkan As-Syahid Imam Hasan Al-Banna di atas jelas menggambarkan begitu beratnya amanah dan tangungjawab yang terpikul dibahu kita dalam konteks mahasiswa. Antara tangungjawab dan amanah.
Dua konatasi yang tidak jauh perbezaan serta tidak terlihat apakah sebenarnya kontradaksi antara keduanya. Mahasiswa adalah golongan yang paling bernilai kepada negara. Golongan yang begitu penting kepada agama dan masyarakat.
Mahasiswa adalah begitu sinonim dengan pemuda. Pemuda itu gagah tenaganya begitu juga mahasiswa. Pemuda itu intelek pemikiranya, teguh idealismanya begitu juga mahasiswa. Pemuda itu kuat tenaganya begitu juga mahasiswa. Pemuda itu kuat keinginnannya begitu juga mahasiswa. Pemuda itu jelas matlamatnya begitu juga mahasiswa. Jelas disini begitu pentingnya golongan mahasiswa.
"Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk" Al-Kahfi:13
Impian dan cita-cita akan terlaksana dengan wujudnya keyakinan yang kuat, keikhlasan, semangat yang sentiasa membara bersamanya serta sedia berkorban dan berusaha untuk merealisasikanya.
As-Syahid Imam Hasan Al-Banna menyatakan terdapat empat asas penting kepda mahasiswa iaitu:
a)     Keimanan
b)     Keikhlasan
c)     Semangat
d)     Usaha
Asas keimanan ialah hati yang bersih. Asas keikhlasan ialah jiwa yang suci. Asas semangat ialah keinginan yang kuat. Asas usaha ialah keazaman yang membara. Semua sifat ini ada sifat yang wajib ada pada mahasiswa. Atas dasar ini dapat dilihat betapa peri pentingnya pemuda sebagai golongang yang tinggi idealisma dan aktivisma berperanan penting dalam perubahan kepada masyarakat khususnya dalam konteks universiti yang tercinta ini.
Kecintaan mahasiswa kepada Ilmu
Antara amanah dan tanggungjawab. Dengan hasrat memajukan agama dan bangsa. Dalam kita melaung-laungkan kemajuan dari sudut fizikal, material dan yang penting yakni akal budi.
Rupanya kita ini jauh benar ketinggalannya. Meskipun pesatnya dibina universiti, kolej universiti dan kolej-kolej. Namun masyarakat mahasiswa gagal membudayakan kecintaan kepada ilmu. Jelas dalam wilayah autoriti kita sejauh mana mahasiswa membudayakan amalan membaca sebagai sahabat akrab.
Seorang sarjana futuris ,Tofler (powershift -1991) turut mengakui bahawa penguasaan ilmu dan maklumat adalah satu-satunya senjata dekad ini yang akan mendominasikan penguasaan mana – mana masyarakat bertamadun. Keupayaan mengekplositasi dan penguasaan maklumat akan menentukan keunggulan dalam menguasai kuasa politik, ekonomi, kewangan, militari dan segenap bidang dalam kehidupan manusia sejagat.
Penguasaan ilmu dan maklumat menjadi lebih penting kepada masyarakat amnya dan mahasiswa khususnya ketika era yang dicengkam dengan arus sejagat, atau apa yang disebut globalisasi.
Dalam arus globalisasi ini, kapitalisma mencengkam dunia. Kita dapat melihat bagaimana yang kaya akan menguasai golongan miskin. Bahkan yang lebih kaya akan membaham yang kaya. Yang laju akan meninggalkan yang perlahan. Yang lebih laju akan lantas merempuh apa sahaja yang di hadapan.
Jelas di sini mahasiswa perlu sedar. Mahasiswa perlu mempersiapkan diri dengan kantungan ilmu yang penuh di dada. Mahasiswa perlu bangun tidak lagi alpa. Sangat sedih apabila semangat juang makin pudar dalam jiwa mahasiswa. Tidak kedengaran nada-nada pengharapan kepada mahasiswa daripada masyarakat.
Andai dahulunya mahasiswa ini adalah agen perubah masyarakat kini tidak lagi. Masyarakat sangat hampa pada kita. Kedangkalan dan kegagalan kita dalam menguasai ilmu sangat menyedihkan. Universiti sebagai pusat kecermerlangan ilmu tidak lagi dapat dimanfaatkan oleh mahasiswa.
Keutamaan Mahasiswa
Umat diluar sana sedang diserang musuh, umat disana sedang dilanggar musuh. Mengapa kita mahasiswa masih leka dan alpa dengan pesona kelalaian? Akademi fantasia, Malaysian idol dan beberapa program lain yang sejelek dengannya menjadi kegilaan muda-mudi masa kini.
Terjebak dengan kancah kegilaan ini juga adalah mahasiswa yang sering mendabik dada sebagai golongan yang kulit tanpa isi atau kulit berisi hampas. Tanpa kita sedar bahawa gejala hendonisme ini tidak menyuburkan intelektualisma tetapi terus menyuburkan gejala kebodohan.
Mahukah nilai begini terus dilabelkan pada mahasiswa? Hanya mahasiswa sendiri yang akan dapat mengubah persepsi yang negatif ini. Ayuh mahasiswa, bangun dan bersemangatlah! Mari kita kembalikan budaya kecintaan kepada ilmu.
Mari kita sepadukan kecintaan total dan keutamaan yang utama kepada penguasaan ilmu. Seiring hasrat membangunkan negara. Dari segi material dan pembangunan insan. Hanya ilmu adalah senjata yang paling ampuh untuk membela agama, bangsa dan negara Malaysia yang tercinta ini. Jangan dibiarkan negara ini dijajah sekali lagi. Atas dasar kedaifan kita dalam penguasaan ilmu.
Keutamaan penguasaan ilmu tidak dapat dinafikan peri pentingnya. Acapkali kita mendengar betapa pentingnya ilmu. Dengan keilmuan kita dapat merubah segala. Sehingganya surah pertama juga adalah bermula dengan "Bacalah".
Angin perubahan
Marilah kita berubah. Kita perlu berubah untuk merubah. Jangan lagi kita membiarkan nama-nama kita terus diconteng-conteng, dicarik-carik lagi. Di samping perjuangan terus di semarakkan.
Keutamaan kecintaan ilmu jangan dikesampingan. Dengan pengusaan ilmu, kita akan lebih dinamik, progresif dan proaktif serta responsif dengan keadaan semasa. Jangan ditunggu esok.
Bermulalah hari ini. Umat di luar sana menangis melihat kecurangan kita membelakangkan tanggungjawab kita sebagai mahasiswa dan kealpaan dan kelalaian kita menjalankan amanah sebagai hamba Tuhan.

Saturday, September 10, 2011

Berat bahu yang memikul


Pada 7 September 2011 bersamaan 9 Syawal yang lalu, wakil Alumni SMASID telah menziarahi Cikgu Suraya binti Othman yang merupakan tenaga pengajar di Sekolah Menengah Agama Sultan Ismail Dungun sehingga tahun 2010.

Cikgu yang pernah mengajar subjek Sejarah itu mempunyai empat orang anak, sulung berusia 16 tahun manakala yang bongsu berumur 6 tahun. Suami cikgu merupakan seorang peniaga di Chalok, Besut dan pulang 2 kali seminggu. Cikgu kini tinggal bersama ibu yang juga uzur dan tidak mampu melakukan kerja-kerja  berat. Kediaman tersebut terletak di Kampung Lembah berdekatan Tanah Perkuburan Yahya Ahmad, Dungun.

Cikgu Suraya telah menghidap kanser payudara selama 11 tahun dan beliau pernah menjalani rawatan kemoterapi di Hospital Kubang Kerian, Kelantan beberapa kali. Setelah pulih dari kanser payudara, disahkan pula menghidap kanser tulang. Kini keadaan Cikgu agak kritikal kerana beliau hanya terlantar di atas katil di rumah ibunya.

Kami dimaklumkan oleh ibunya, kedua-dua tulang paha cikgu patah dan tidak mampu bergerak tanpa pertolongan sesiapa. Cikgu juga tidak mampu bertutur dengan sebaiknya, kabur penglihatan serta  badannya yang kian susut membuatkan kami sebak dan sukar untuk mempercaya bahawa itu adalah guru yang pernah mengajar kami suatu ketika dahulu.

Hingga saat ini, cikgu tidak menjalani apa-apa rawatan dan hanya mengambil ubat penahan sakit dan memilih untuk berehat sahaja di rumah ibunya. Justeru, kami menyeru saahabat-sahabiah sekalian agar menziarahi serta mendoakan kesejahteraan cikgu. Semoga dengan kehadiran kita menguatkan semangat cikgu.
Buah tangan
Bertanyakan keadaan cikgu

Bersalaman sebelum pulang

Sempat bergambar di halaman rumah ibu  Cikgu Suraya
Ziarah Ustazah Fatimah
Kami juga berkesempatan menziarahi Ustazah Fatimah Abu Bakar di Kg Nibong Stesen, yang juga merupakan tenaga pengajar di SMASID dan telah menamatkan perkhidmatannya sebagai guru pada tahun 2007 yang lalu. Kesihatan Ustazah Fatimah juga kurang mengizinkan kerana penyakit lemah jantung yang dialaminya.

Ustazah menyambut kami dengan  gembira dan kami dijamu juadah ringan hari raya. Kami gembira melihat senyuman manis di wajahnya walaupun ada keuzuran yang ditanggung di sebalik senyumannya itu. Sebelum pulang, kami sempat bergambar kenang-kenangan bersama ustazah.

Semoga Ustazah Fatimah, Cikgu Suraya serta ustaz- ustazah sekalian berada di bawah naungan kasih sayang dan rahmat Ilahi sentiasa. Amin  

Dalam perjalanan mencari rumah Ust. Fatimah

Tersalah rumah...

Alhamdulillah, jumpa juga akhirnya
Bergambar kenang-kenangan bersama Ustazah Fatimah  

Wednesday, August 31, 2011

perutusan raya

UCAPAN PENGGULUNGAN TENURE ALUMNI SMASID 2010/2011
Segala puji-pujian bagi Allah, Tuhan semesta alam yang telah menciptakan manusia sebaik-baik kejadian. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, semulia-mulia kejadian di dunia, sebaik-baik contoh ikutan serta Nabi akhir zaman yang telah mewasiatkan kepada kita sebuah perjuangan iaitu menegakkan agama Allah didunia yang akan menyelamatkan manusia di hari akhirat.
Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kepada Illahi, setelah satu tenure bermula 3 Jun 2010, genaplah setahun 3 bulan, Alumni SMASID di daftarkan di bawah sekolah dan mempunyai organisasi lengkap setelah mengalami tahun-tahun ‘hibernasi’ selama 7 tahun bermula tahun 2003. Sebelumnya, kita telah menyaksikan pergerakan alumni yang telah tersusun kukuh yang dipimpin oleh barisan exco daripada batch yang rata-ratanya adalah lepasan tingkatan 6 SMASID. Namun, setelah SMASID tidak lagi membuat pengambilan tingkatan 6, mereka-mereka yang bersemangat untuk meneruskan legasi tersebut telah berkurangan, lalu terjadilah tahun-tahun kemurungan yang mana alumni SMASID dilihat wujud hanya pada kem untuk adik-adik sekolah dan pada majlis jamuan hari raya.
Menyedari hakikat itu, lahirlah beberapa usaha untuk menghidupkannya kembali agar alumni SMASID terus unggul menjadi medan pengumpulan bekas pelajar SMASID dan sebagai badan kedua sekolah selepas PIBG yang menjadi ‘back up’ terhadap usaha-usaha yang membawa SMASID kearah yang lebih terkehadapan.
Setelah perlembagaan alumni SMASID dibuat dan disahkan oleh cikgu Hajah Norbiatun Abu Bakar (Pemangku Pengetua) pada tahun 2009, Alumni SMASID telah merangka sebuah organisasi bagi memegang posisi selama setahun bermula tahun 2010. Organisasi ini dibuat setelah organisasi yang lama membubarkan line up mereka dalam Majlis Jamuan Hari Raya pada 13 September 2009. Lalu dicadangkan nama-nama mereka yang dilihat mempunyai potensi serta memberikan komitmen dalam program-program anjuran alumni seperti kem untuk adik-adik dan majlis hari raya. Kemudian, dibawakan nama-nama tersebut kepada wakil batch yang lepas untuk disahkan. Setelah disahkan nama-nama ini, ia diumumkan oleh Cikgu Hajah Nobiatun, selaku Penasihat Alumni SMASID sewaktu majlis penutup Kem Generasi Idaman pada 3 Jun 2010 (Proses-proses ini telah digazetkan dalam Perlembagaan Alumni). Akhirnya terbentuklah secara rasminya organisasi alumni batch 2010/2011.
Seawal tenure, kami mengakui mempunyai pelbagai rintangan untuk bergerak memandangkan pengalaman yang amat terhad dalam mengendalikan sebuah persatuan yang asas penubuhannya adalah untuk bekas-bekas pelajar. Namun, berkat kesungguhan exco-exco alumni, tunjuk ajar daripada abang-abang dan kakak-kakak batch lepas terutamanya abang Hadi dan abang Wahee selaku Penasihat utama alumni, bantuan yang telah diberikan oleh pihak sekolah serta sokongan daripada sahabat-sahabiah alumni yang lain telah memberikan Persatuan Alumni SMASID nafas baru  sebagai sebuah platform untuk bekasan-bekasan pelajar SMASID menyumbangkan bakti.
Melalui 6 exco dalam persatuan alumni, kita telah mampu menghidupkan semula alumni kita kearah yang lebih bersistematik dari sudut pengurusan.
Exco Perhubungan selama satu tenure telah mampu mengumpulkan data lebih daripada 300 orang bekas pelajar SMASID. Data-data tersebut didapati daripada buku data sekolah, program-program alumni seperti majlis jamuan hari raya, majalah SEMAI, dan data yang telah sedia ada daripada batch lepas. Data-data ini penting bagi kita menghubungi mereka bagi memaklumkan sebarang program yang memerlukan tenaga serta penyertaan ramai.
Exco Kebajikan pula menumpukan kepada kebajikan ahli-ahli alumni. Sebarang berita mengenai bencana atau kematian seseorang ahli atau keluarga terdekat akan dimaklumkan menerusi SMS dan dimaklumkan melalui facebook oleh Exco Multimedia. Disamping itu, dengan kerjasama Exco Perhubungan, kita telah memberikan ucapan hari jadi. Setakat ini, tiada program khusus anjuran exco ini yang mengumpulkan semua. InsyaAllah, pada tenure hadapan, kita akan cuba menganjurkan beberapa aktiviti bersama seperti iftar alumni dan sebagainya.
Exco Multimedia adalah suara atau medium penerangan alumni. Selama satu tenure, kita telah mewujudkan satu blog rasmi alumni SMASID. Alamatnya adalah: www.alumnismasid.blogspot.com serta facebook rasmi alumni: Alumnai SMASID. Kedua-dua medium ini telah mampu menjadi tempat rujuk hampir 1500 orang bekas pelajar SMASID kepada aktiviti-aktiviti serta makluman daripada kita termasuk tazkirah dan berita-berita terkini mengenai sebarang musibah atau kematian. kita masih mengalu-alukan sebarang komentar daripada semua sahabat-sahabiah untuk bersama-sama mengimarahkan kedua-dua medium ini dengan sebarang post, pemberitahuan, promosi dan lain-lain. Diharapkan agar ukhwah kita terus menerus walau berada jauh di mata.
Exco Tarbiah adalah exco yang bersifat kerja belakang tabir, dimana mereka menjadi badan menghidupkan budaya islamiah kepada sesama ahli alumni dan sekolah. Mereka akan mengumpulkan dan membuat artikel-artikel, posts facebook, dan membantu adik-adik di sekolah menerbitkan beberapa risalah untuk diedarkan di sekolah. Setakat ini, mereka telah Berjaya menerbitkan lebih daripada 15 buah artikel yang dipostkan didalam blog, berpuluh-puluh posts didalam facebook dan 2 buah artikel untuk adik-adik yang telah diedarkan di sekolah atas nama persatuan dan kelab mereka masing-masing. Dalam masa yang sama, mereka telah mampu mengumpulkan lebih daripada 100 buah modul dan silibus untuk kem, usrah dan program yang akan menjadi rujukan kita dalam program-program bersama adik-adik sekolah. Pada kem yang akan datang, exco tarbiah adalah penasihat utama kepada sebarang pergerakan kita agar ia terus selari dengan kehendak syariat.
Exco Modal Insan adalah exco yang tugas mereka hanyalah untuk adik-adik di sekolah. Mereka akan menganjurkan aktiviti bersama adik-adik dan membantu mereka dari segenap aspek termasuk kepimpinan, tarbiah, pengurusan organisasi dan akademik. Setakat ini, 5 kali kelas tusyen telah berjaya dijalankan sepanjang bulan 6 hingga bulan 7 kepada sekelompok kumpulan adik-adik tingkatan 5. Beberapa aktiviti seperti rehlah ke pantai , usrah dan kem telah dijalankan kepada adik-adik yang kita pilih berdasarkan kepada komitmen mereka dalam program-program kita. Kita masih mengalu-alukan bantuan daripada semua ahli alumni terutamanya ustaz-ustaz untuk menghulurkan sebarang bentuk sokongan dan bantuan kepada adik-adik di sekolah memandangkan bilangan kumpulan sasaran kita masih terhad kepada beberapa kelompok pelajar sahaja kerana kekurangan tenaga dan komitmen. Semoga misi ‘setiap murid,satu usrah’ tercapai.
Exco Ekonomi dianggap team penjana kewangan alumni. Bermula daripada kosong, kita telah berjaya mengumpulkan sebanyak RM 375 daripada jumlah keuntungan jualan baju alumni. Langkah ini dianggap sebagai satu langkah yang boleh dipuji kerana kita mampu membuka jualan baju buat kali kedua pada jamuan hari raya pada hari ini. Difahamkan, terdapat ramai lagi yang masih membuat tempahan secara SMS dan facebook. Kita optimis dengan memberikan kepercayaan kepada mereka membuat tempahan dahulu tanpa bayaran deposit sebagai modal kerana meletakkan kepercayaan kepada para penempah. Alhamdulillah, setakat ini, hanya 4 orang sahaja lagi yang masih belum menuntut baju mereka dan mereka semua akan mengambilnya dalam jamuan ini. Pada tenure akan datang, kita akan memperbanyakkan sumber pendapatan kita termasuk membuat kerjasama niaga dengan alumni-alumni yang lain. Sebarang persoalan, boleh terus hubungi mereka.
Di bahagian line up utama alumni, kita sedang mencari satu sistem pengurusan yang berkesan baik dari sudut pengumpulan data, catatan minit mesyuarat, pengurusan kewangan dan sebagainya. Setakat ini, kita sedang menumpukan untuk mewujudkan sebuah akaun persatuan yang memerlukan RM3000 sebagai pendahuluan. InsyaAllah pada tenure hadapan, kita akan usahakan agar ianya menjadi realiti. Dari sudut pengurusan data, setakat ini, semua mesyuarat dan aktiviti kita akan dicatatkan dalam bentuk minit mesyuarat serta laporan akhir program. Data-data ini disimpan baik oleh Setiausaha sebagai rujukan akan datang. Kita juga telah mempunyai nombor rasmi alumni: 011-19822687. Nombor ini akan digunakan untuk sebarang sebaran makluman umum alumni. Objektifnya agar tema “Alumni dekat dihati” kesampaian.
Alumni batch 2010/2011 telah meletakkan dua program wajib sebagai program tradisi yang harus dijalankan saban tahun iaitu Kem untuk pelajar sekolah dan Majlis Jamuan Hari Raya untuk sesama alumni SMASID.
Alhamdulillah pada 23-25 Jun 2011, melalui Unit Bimbingan dan Kaunseling sekolah, kita telah berjaya menganjurkan Kem Khalifah Muda. Terima kasih buat cikgu Nordin Ithnin selaku cikgu Kaunseling yang juga ahli alumni kita yang telaj banyak membantu kami menjayaan program ini. Kem ini telah disertai oleh semua pelajar tingkatan 4 dan seramai 51 orang urusetia program daripada alumni SMASID telah mengambil bahagian.  Tujuan utama penganjuran kem tersebut adalah bagi memberi kesedaran mengenai kepentingan berakhlak dengan akhlak islamiah disamping mengenalpasti dan menggilap bakat kepimpinan dalam kalangan para pelajar tingkatan empat iaitu bakal pewaris kepimpinan sekolah pada tahun depan. Secara keseluruhannya, kita telah berjaya mencapai matlamat kem tersebut, Cuma berlaku kekurangan dari sudut pengisian dan modul program memandangkan generasi muda kini rata-ratanya sukakan pengisian berbentuk hiburan dan kemodenan. Pada akhir program, kita telah berjaya mengenal pasti 57 orang pelajar yang ada potensi serta mempunyai bakat kepimpinan. Mereka semuanya telah dikumpulkan dan diberikan motivasi susulan oleh Exco Modal Insan Alumni bagi terus mencungkil bakat mereka sehingga mampu memimpin sekolah pada tahun hadapan. 

Keduanya adalah Majlis Ramah Mesra Alumni SMASID. Secara keseluruhannya, majlis ini telah berjaya mengumpulkan lepasan-lepasan pelajar SMASID daripada pelbagai batch SPM. Daripada penganjuran secara tidak formal pada tahun 2009, jumlah kehadiran tetamu yang hadir telah meningkat daripada 150 orang kepada 250 orang pada tahun 2010. Diharapkan agar jumlah ini akan terus meningkat daripada tahun ke tahun sehingga kita mampu mengumpulkan semua lepasan SMASID sejak seawal penubuhannya sehinggalah sekarang. Program ini wajar diteruskan agar ukhwah sesama kita terus mantap dan kita mampu menjadi pembantu kepada pembangunan SMASID baik dari sudut infrastuktur,modal insan dan sebagainya. Pembinaan Surau Sekolah yang telah dimulakan secara serius oleh Pengetua SMASID sekarang,ustaz Awang Dahan, telah membuka lebaran baru kepada kita untuk membuktikan bahawa kita akan turut serta menjadi penggiat kepada pembinaan surau sekolah. Justeru, saya menyeru semua alumni SMASID menghulurkan sebarang sumbangan kepada pihak sekolah baik dari sudut kewangan, tenaga, masa dan sebagainya bagi merealisasikan hasrat penubuhan surau ini.
Disamping dua program besar tersebut, kita telah melangkah selangkah lagi kehadapan apabila telah diberikan kepercayaan oleh pihak sekolah untuk menjadi urusetia dan fasilitator dalam beberapa buah program,kem dan majlis anjuran sekolah. Program seperti Kem Solat, Program Pecutan PMR dan majlis Pecah Tanah Surau SMASID adalah antara program yang telah disertai oleh beberapa orang alumni. Modus operandinya adalah, Exco Perhubungan dan Exco Multimedia(Penerangan) akan memaklumkan kepada semua alumni SMASID ke dalam facebook atau blog atau melalui SMS. Kemudian, sesiapa yang berminat, akan menghubungi orang yang ditugaskan(PIC) program tersebut dan mereka akan dipanggil melalui SMS untuk kepada program tersebut. Baru-baru ini, 2 orang guru ganti daripada alumni telah berjaya dicari melalui facebook dan SMS.
Secara keseluruhannya, dapat saya simpulkan, sepanjang setahun 3 bulan Persatuan Alumni SMASID ditubuhkan dibawah sekolah, kita telah berjaya mewajahkan persatuan kita diperingkat sekolah. Alhamdulillah, pihak sekolah telah melihat kita adalah sebuah persatuan yang mampu menyediakan pelbagai sumber baik dari sudut tenaga, idea, dan masa. Disamping itu, kita akan terus meneruskan usaha bagi mengumpulkan segenap tenaga dan kekuatan yang telah kita ada bagi terus menyumbangkan bakti kepada pihak sekolah. Kita akan cuba mengumpulkan ustaz-ustaz dan tenaga-tenaga pengajar bekas pelajar SMASID seperti ustaz Safwan,ustaz Nazri, Syeikh Hanafi, Ahmad Tarmizi Hj Ali dan ramai lagi sebagai usaha memantapkan adik-adik di sekolah.
 Semoga usaha ini membuahkan hasil sehingga Alumni SMASID bukan sahaja gah bersama aktiviti sesama mereka, tetapi, mereka mampu turun menebarkan bakti kepada sekolah tempat mereka ditarbiahkan sehingga mampu menjana ratusan bahkan ribuan adik-adik yang hebat dari sudut duniawi dan ukhrawi mereka.
Akhir kalam daripada saya dan barisan exco Alumni SMASID , memohon maaf andai  selama satu tenure kami memimpin alumni, terdapat amanah yang belum tertunai. Tujuan kami hanyalah bagi membawa persatuan kita kearah yang memberi, bukan diberi. Salam Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin.
“Hidup Biar Berjasa”



Yang benar,
Hafizul Faris
(Presiden Alumni SMASID 2010/2011)

Wednesday, June 22, 2011

MESRA AIDILFITRI Syawal 1432H


Pihak Alumni akan menganjurkan satu jamuan Hari Raya sebagaimana berikut:

Tarikh        : 5 Syawal 1432 H
Bersamaan : 3 September 2011
Hari           : Sabtu
Jam            : 8.30pg -2.00 ptg
Tempat      : Dewan Besar SMASID

Semua bekas pelajar SMASID (sejak awal penubuhan sehingga SPM 2010) dijemput hadir.

Sebarang pertanyaan, hubungi:
Fadhlan : 019-5325302
Najwa  :  019-2493606


Semoga pertemuan seperti ini mengeratkan lagi hubungan silaturrahim sesama bekas pelajar SMASID.

Tuesday, June 21, 2011

- ANTARA MALU DAN MAHU -

Gambar demi gambar saya tatapi. Dengan pelbagai gaya dan berencam warna, terdapat lebih seratus foto silih berganti mengambil ruang pada skrin komputer.
Tidak sukar, tidak perlu menyelak lembar demi lembar. Hanya menekan mouse di bahagian kiri, keseluruhan foto-foto yang ada dapat saya lihat sepuasnya. Jika ingin mengulang tatap, teruskan sahaja menekan, pusingan gambar akan terus beredar. Satu demi satu.
Saya akui, kesemuanya cantik, comel dan ayu. Sememangnya, mereka gadis-gadis yang bertuah kerana memiliki kecantikan wajah. Mungkin kerana itu, mereka berusaha menampilkan gambar dalam pose terbaik dan tercantik untuk beradu nasib dalam pertandingan menggayakan tudung itu.
Akan tetapi, jauh di sudut hati, saya sedih dan gundah.
Bagai ada sesuatu yang terbuku di dada saya rasakan, tetapi tidak terluah.
Saya melanjutkan pandangan mata pada komen-komen yang bertemali di bawah setiap gambar. Ada kata-kata pujian serta pujuk rayu agar gambar mereka diundi. Gulana saya bertali sehinggalah saya menemukan komen dari seorang lelaki di bawah foto seorang gadis berpakaian t-shirt panjang tetapi agak ketat, bertudung kepala yang tidak cukup melindungi dada dengan legging hitam menutupi kakinya :
“Ini bukan hijab.”
Kata-katanya itu, disambut satu pertanyaan :
then what?”


KEGHAIRAHAN
Saya yakin, sudah terlalu banyak peringatan dan nasihat yang diberikan tentang muslimah dan gambar. Dan saya pasti, gadis-gadis yang menyertai pertandingan tersebut juga ramai yang telah sedia maklum tentang batas sempadan untuk gambar-gambar indah mereka dipertontonkan.
Sayangnya, keghairahan mempamer gambar masih tidak berkurang, malah ia kian menjadi-jadi. Perlumbaan demi perlumbaan diketengahkan. Tidak cukup dengan televisyen dan majalah, saluran internet menerusi laman-laman sosial menjadi sarana efektif yang melebarkan pesona muslimah.
Situasi Ini ditambah lagi dengan kemunculan kerjaya dan hobi yang dijalankan secara full-time atau part-time, yang banyak berasaskan kepada elemen kecantikan, dandanan dan paparan wajah seperti model busana muslimah, jurumekap dan jurugambar ( photographer).
Permintaan dari pasangan raja sehari untuk mengabadikan momen bersejarah dengan pelbagai aksi dan sisi juga tidak kurang hebatnya terutama ketika musim cuti sekolah di mana banyak majlis resepsi dan perkahwinan diadakan.
Tidak mengapa andai ia sekadar untuk simpanan peribadi dan tatapan kaum keluarga semata-mata, akan tetapi bila ianya dikongsi untuk tatapan umum di laman maya, maka sudah pasti ada keburukan tanpa sedar tercipta darinya.

HIKMAH YANG HILANG
Melihat perkembangan kurang sihat ini, saya sangat kecewa. Terlalu ramai di kalangan wanita Islam hari ini yang turut terkena tempias obses kepada kecantikan dan menyebarluas keindahan yang sewajarnya diperlihatkan hanya kepada yang halal.
Mereka menamakan tabarruj sebagai hijab dan menamakan maksiat sebagai ketaatan. Bukankah ini sangat tersasar? Kerana itu, saya membenar dan menegaskan komentar dari seorang lelaki di atas bahawa :
”Ini bukan hijab!”
Hakikatnya, semakin galak golongan muda belia ini mempertontonkan kecantikan, maka semakin sirnalah hikmah dan pesona kebaikan dari tujuan menutup aurat ( hijab ) yang sebenarnya sebagaimana yang diwar-warkan oleh syari’at yang mulia.
Antaranya :
1) Hijab itu adalah pesona kemuliaan ( ‘iffah ). Ia bertindak sebagai benteng yang kukuh untuk menjauhkan seorang gadis dari maksiat, gangguan lelaki jahat dan seterusnya meninggikan darjat kemuliaannya di tengah-tengah masyarakat.
Inilah yang menjarakkan darjat kemuliaan antara muslimat mukminat dan wanita-wanita jahililiah kerana wanita jahiliah, tatkala keluar dari rumah, mereka ingin tampil berbeza dan lebih dari wanita yang lain. Pujian dan sanjungan adalah matlamat utama terutama dari lelaki-lelaki yang tertarik dengan kejelitaan dan keindahan mereka.
Firman ALLAH SWT yang bermaksud :
“Hai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: “Hendaklah mereka menghulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak akan diganggu.” ( Surah Al-Ahzab ayat 59 )
Ingin juga saya kongsikan satu riwayat menginsafkan berkenaan muslimat mukminat di zaman Rasulullah SAW.
Dari Safiyah binti Syaibah, beliau berkata: “Ketika kami bersama Aisyah r.a, Aisyah berbicara : “Aku terkenang akan wanita-wanita Quraisy dan keutamaan mereka.” Lalu Aisyah melanjutkan : “Sesungguhnya wanita-wanita Quraisy memiliki keutamaan, dan demi ALLAH, aku tidak melihat wanita yang lebih percaya kepada kitab ALLAH dan lebih meyakini ayat-ayat-NYA melebihi wanita-wanita Ansar. Ketika turun kepada mereka ayat: “Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya.” ( Surah An-Nur ayat 31 ), maka para suami bersegera mendatangi isteri-isteri mereka dan membacakan apa yang diturunkan oleh ALLAH kepada para muslimah. Mereka membacakan ayat itu kepada isteri, anak gadis, saudara perempuan dan kaum kerabat. Dan tidak ada seorangpun di antara wanita itu kecuali mereka semuanya segera berdiri mengambil kain tirai dan menutupi kepala dan wajah mereka, lantaran percaya dan beriman kepada apa yang diturunkan ALLAH dalam kitab-NYA. Sehingga mereka (berjalan) di belakang Rasulullah SAW dengan kain penutup seakan-akan di atas kepala mereka terdapat burung gagak.”
2) Hijab itu adalah pesona kesucian hati. Peranan ini diiktiraf sendiri oleh ALLAH SWT kerana dengan ‘hijab’ yang benar, ia mampu melindungi pemakainya dari dilihat oleh lelaki secara tidak wajar seterusnya meleburkan keinginan-keinginan syahwat yang mungkin timbul dari pandangan mata tersebut. Dengan ini, mata yang ter’hijab’ dapat menjamin kesucian hati pemiliknya dan orang-orang yang berurusan bersama mereka. Inilah manfaat yang boleh difahami dari Firman ALLAH SWT yang bermaksud :
“Apabila kamu meminta suatu (keperluan) kepada mereka (isteri-isteri Nabi), maka mintalah dari belakang tabir. Cara yang demikian itu lebih suci bagi hatimu dan hati mereka.” ( Surah Al-Ahzab ayat 53 )
3) Hijab itu adalah pesona akhlak. Muslimah yang baik dan bertaqwa adalah muslimah yang mendahulukan malu dari mahu untuk mempamer foto-fotonya yang indah itu. Tindakan ini bukan sekadar dapat menjaga imannya dari diganggu, malahan ia telah menyelamatkan iman para jejaka dari dirobek gejolak nafsu, juga iman para muslimah lainnya dari cemburu melulu.
Selanjutnya, bila keimanan masing-masing terpelihara, maka ketinggian akhlak juga akan turut terus melata. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
“Malu dan iman itu bergandingan bersama, bila salah satunya diangkat maka yang lainpun akan terangkat.”

BEAUTY AND THE BEAST
Melihat kepada obsess muda mudi kini kepada kecantikan, saya teringat kepada satu rancangan dokumentari bertajuk : Beauty and the beast: ugly face of prejudice, yang baru saja ke udara baru-baru ini menerusi satu saluran televisyen di UK.
Siri ini mengenengahkan investigasi tentang perbezaan dua individu yang ditakrifkan oleh cara mereka menanggapi, melihat dan menilai sesuatu.

Episod pertama rancangan ini menampilkan Leo, seorang lelaki di awal usia 60 yang memiliki wajah, tangan dan kaki kiri yang cacat akibat kebakaran sewaktu berumur 14 tahun, manakala seorang lagi ialah Yasmin, seorang gadis di awal usia dua puluhan yang terlalu obses dengan kecantikan. Hampir 40 hari setahun, iaitu lebih dua jam sehari masanya diperuntukkan di hadapan cermin. Ribuan pound juga dibelanjakan sebulan hanya untuk membeli peralatan solekan.
Sebelum keluar, wajahnya yang sedia jelita dioles sesempurna mungkin agar dapat berhadapan masyarakat dengan wajah tidak polos tanpa warna.
Berbeza dengan Yasmin yang sangat teruja melakukan apa sahaja demi kecantikan agar dapat tampil mempesona seperti selebriti dan artis ternama, Leo sebaliknya sangat menentang pembedahan plastik untuk tujuan kosmetik. Menurut Leo, secara khususnya seorang wanita sanggup menekan dirinya sendiri untuk cuba meniru kesempurnaan fizikal yang banyak ditampilkan di media. Dan inilah yang sedang dialami oleh Yasmin, seorang ‘penagih’ kecantikan paras rupa.
Di akhir rancangan, dengan bantuan Dr. Laxmi Kathuria, seorang pakar psikiatri yang mengkhusus kepada citra tubuh, Leo dapat menjeroka alasan sebenar di sebalik keghairahan Yasmin.
Perbualan demi perbualan dari pengisian masa bersama Leo, menyedarkan Yasmin bahawa kecantikan bukanlah segalanya kerana ia tercerna dari persepsi yang diinginkan oleh masyarakat ramai. Sedangkan kecantikan asli yang ada sepatutnya sudah cukup untuk dihargai dan lebih membebaskan dirinya dari menyia-nyiakan masa, tenaga juga wang ringgit untuk memenuhi persepsi massa.
Leo yang telah berkeluarga dan ayah kepada tiga cahaya mata juga berjaya membuka mata Yasmin bahawa pasangan yang baik adalah yang boleh menerima dia seadanya kerana sikap positif dan nilai hidup yang baik lebih diperlukan untuk kelansungan perhubungan yang bahagia.

SECARA ZAHIR
Untuk apa gadis-gadis muda remaja itu melakukan hal tersebut hanya mereka yang dapat menjawabnya. Pada saya, untuk menelah atau meneka-neka niat dan tujuan yang tersembunyi di dalam hati seseorang bukanlah sesuatu yang dituntut untuk dilakukan oleh mana-mana muslim/muslimah yang berusaha mencapai taqwa, lantaran Rasulullah SAW sendiri menetapkan sesuatu hukum berdasarkan apa yang didengar dan dilihat oleh zahir mata sahaja sebagaimana penegasan baginda menerusi sabdanya yang bermaksud:
“Sesungguhnya aku hanya manusia, dan kamu sentiasa membawa kes pertikaian untuk di selesaikan olehku, dan mungkin sebahagian kami lebih cekap berhujjah dari sebahagian lainnya, maka aku telah memutuskan hukuman berdasarkan apa yang kudengari sahaja. Barangsiapa yang telah ku jatuhi hukuman dan hukuman itu mengambil hak yang lain (akibat kurang cekap pihak yang benar dalam berhujjah), maka jangalah kamu mengambilnya, sesungguhnya ia bakal menjadi sepotong api neraka.” (Riwayat Abu Daud, Tirmidzi dan lain-lain: Rujuk Naylul Awtar, 8/632, no 3920 )
Hadith di atas jelas menunjukkan bagaimana sikap seorang hakim ( dalam Islam ) melaksanakan hukum, iaitu berdasar kepada info dan bukti zahir yang diberikan.
Demikian juga dalam masalah penyebaran gambar-gambar muslimah menutup aurat tetapi masih bersolek cantik dalam gaya yang kurang manis. Insafilah, bahawa dengan penonjolan dirinya itu, setiap lelaki yang melihat dengan syahwat akan memperoleh dosa.
Sedang di pihak si gadis jelita, dia bukan setakat mendapat satu dosa bagi kesalahan itu, tetapi juga meraih setiap dosa semua lelaki yang memandangnya. Bayangkanlah berapa banyak dosa yang diperolehi hanya dengan mempamerkan diri setiap hari.
Baginda SAW bersabda yang bermaksud :
“Sesiapa yang mempelopori sesuatu yang buruk, maka ke atasnya dosa dan dosa setiap orang yang membuatnya tanpa sedikit kurang pun dosanya..” ( Riwayat Ahmad dan lain-lain : Sohih )

ANTARA MALU DAN MAHU
Sungguh pilu memikirkan betapa Rasulullah dan para sahabat dahulunya bermandi keringat dan darah demi mempertahankan maruah Islam termasuk adanya peperangan akibat cemburu atas seorang wanita dan untuk menjaga kehormatannya.
Kini, muslimah sendiri yang mengurangi nilai diri mereka dengan berlumba-lumba menyertai pertandingan kecantikan demi meraih gelaran, pengiktirafan dan ganjaran.
Islam datang membawa penawar, agar penyakit masyarakat dapat diubat, tetapi dengan gejala kurang sihat yang melanda ini, penawar akan hilang berganti tuba yang akan mematikan hati manusia.
Justeru, muslimahku, tanyalah hatimu. Antara malu dan mahu, yang manakah kalian perlu?
Kutinggalkan kalian dengan barisan kata-kataku yang lahir dari lubuk hati ini :
“ Menatap foto-foto indah mu, terbit persoalan dihatiku: Sudah semakin pudarkah kecemburuan seorang suami terhadap isteri, telah sirnakah kecemburuan ibu bapa terhadap anak dan telah hilangkah kepedulian sahabat dan teman? Beruntunglah andai suami menegur, bertuahlah andai ibubapa menasihati, bersyukurlah andai teman menegur silap diri, itu tanda masih ada cemburu pada mereka, kerana cemburu itu tanda mereka sangat menyintai dan menyayangi anda.”

Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.
Jumpa lagi, InsyaALLAH.

Saturday, June 4, 2011

Siapa Kita ???



SIAPA KITA ? jika ditanyakan soalan ini,pasti ramai yang TAHU menjawab kita adalah hamba Allah.Namun,berapa ramai antara kita yang SEDAR bahawa kita hamba Allah?.Ya, ramai manusia hanya tahu tetapi tidak sedar,lantas dia hidup bagai “Tuan” di dunia ini.sikap berlagak, sombong,bangga,tamak,pemarah,kedekut menjadi tabiat. Makna Tahu & Sedar sangat berbeza. Tahu letaknya di akal- dengan memiliki ilmu dan maklumat, sedangkan sedar letaknya di hati- dengan memiliki penghayatan & hikmah.Sedar adalah mendalam,melibatkan kemahuan dan amali. Hakikat sebenar kesedaran boleh kita singkapkan dengan kata hikmah Saidina Ali; “ Manusia ketika hidup di dunia semuanya tidur ( mimpi ),bila mati nanti barulah mereka terjaga ( tersedar )”. Apa yang tersirat pada kata-kata ini ialah seseorang itu pabila mati kelak barulah hakikat kehidupan itu tersingkap. Tika alam kubur menjadi rumah,amalan di dunia penentu bahagia,menyesallah Sang Penderhaka pada Allah Taala yang Maha Esa. Tapi sayangnya,penyesalan tidak berguna,keinsafan tiada makna dek kerana buruan dunia hanyalah nafsu & dosa. Terbabas di jalan dunia akibat buta mata hati. Nah,terpukul jiwa yang masih bernafas dengan nikmat kurniaan-Nya.Alhamdulillah, kita diperingatkan lagi dengan hadith baginda yang bermaksud “ Allah suka orang yang bertaubat,tetapi Allah lebih suka orang muda yang bertaubat ”.

Apa yang dimaksudkan oleh Saidina Ali dengan “tersedar” merujuk kepada mata di hati.Inilah yang disebutkan dalam Al-Quran dalam surah Al-Hajj:46, “ Apakah mereka tidak berjalan di muka bumi,lalu dengan hati yang mereka miliki dapat memahaminya atau dengan telinga yang mereka miliki dapat mendengar semuanya? Sesungguhnya (mereka tidak memahaminya) bukanlah kerana mata yang buta,tetapi yang buta itu ialah hati yang tersembungi di dada.” Ayuh diri,lihatlah alam dengan mata hati,fikirlah hikmah dengannya,nilailah sesuatu menggunakannya tetapi dengan syarat kesucian & kebersihan hati itu terjaga.Itulah pandangan yang paling tepat dan benar kerna ia mampu melihat apa yang tersirat disertai kesedaran.
Kesedaran adalah gerbang awal kepada perubahan diri.Ia mendorong fikiran,jiwa dan emosi,inilah yang dinamakan SEMANGAT untuk berubah  dalam berperanan sebagaimana dituntut Syariat; menjadi hamba dan khalifah Allah.kita hayati kata hukama, “ Untuk membaiki dunia,baiki manusianya.Dan untuk membaiki manusia, baiki hatinya”.



Sebenarnya, manusia memandang apa jua dengan 4 jenis pandangan : 1) Pandangan mata yang sifatnya selalu menipu. 2) Pandangan akal pula sifatnya selalu tersalah dan terbatas. 3) Pandangan nafsu yang sifatnya selalu melulu serta terbabas. 4 ) pandangan mata hati adalah pandangan yang paling tepat.Hati pada asalnya bers ih dan baik selagi mana tidak dicemari dengan noda dan dosa.
Gunalah mata hatimu dalam merealisasikan visi hidupmu. Tanyakan pada diri “ ke mana umur mudamu sudah kamu habiskan? Sebelum soalan ini ditanya kelak di padang mahsyar. Tetapkan matlamatmu iaitu abdikan diri pada Allah Taala dengan sepenuhnya. 3 Asas membina Ubudiyah adalah Iman yang benar lagi tulus,pegangan yang teguh dengan pertimbangan ilmu dan tuntutan Al-Quran serta beramal dengan pedoman yang betul.


Kata Imam Al-Ghazali: “Carilah hatimu pada 3 tempat... carilah hatimu sewaktu bangun membaca Al-Quran.Jika tidak kau temui,carilah hatimu ketika mengerjakan solat.Jika kau tidak temui juga, carilah hatimu dengan duduk tafakur mengingati mati.Jika kau tidak temui juga,maka berdoalah pada Allah,pinta hati yang baru,kerana hakikatnya pada ketika itu kau tidak mempunyai hati”.


Ingatlah diri, mata hati akan celik hanya apabila kita melihat kehidupan ini sejajar dengan kehendak atau ketetapan Allah Taala. Jika tidak, terjadilah apa yang ditegaskan oleh Allah Taala menerusi firman-Nya yang bermaksud; “ Dan sesungguhnya kami sediakan bagi neraka jahanam itu golongan jin dan manusia yang mereka itu mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya, dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya, dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya; mereka itu ibarat binatang ternak,bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.” ( Surah al-A’raaf : 179 ).
Wallahua’lam...




Pres/Timb.Pres/Naib Pres